Sunday, August 20, 2017

12 Ogos 2017

Mungkin sudah terlambat, mungkin juga sudah basi disebabkan ‘post-post’ yang menjadi sohor kini (trending) pada minggu lalu.

Tarikh ini tarikh keramat bagiku. Tiada kata mampu diungkap bagi menggambarkan rasa yang bergelora di jiwa. Terasa semuanya bagaikan mimpi biarpun hakikatnya semuanya adalah realiti.

Titisan jernih sedikit tertumpah dalam kehangatan terik mentari yang menyimbah. Kaki yang sedari tadi bergetar terasa kembali kuat meneguhkan tegaknya.

Pemeriksaan barisan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV Sultan Muhammad V
Saat itu, segala memori yang terakam kembali berputar-putar di fikiran satu demi satu. Masa yang tadinya dirasakan begitu lama menantikan kehadiran kini terasa begitu pantas berterbangan.
Perkara paling mengganggu fikiran saat ini ialah sebab utama menyertai Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) ini.

Masih jelas di fikiran saat hati berkecamuk memikirkan mampukah diri ini melepasi Ujian Kecergasan Asas (UKA) bagi melayakkan diri menjadi seorang kadet PALAPES. Jelas, cukup jelas.
Saat itu, hati begitu ragu memikirkan benarkah diriku mampu? Benarkah aku sanggup menahan penderitaan selama 3 tahun, berbeza dari pelajar-pelajar lain?

Hati bertambah ragu saat salah seorang kenalan DQ menarik diri pada saat akhir. Akhirnya, aku memilih membulatkan tekad mencuba nasib kerana hasratku yang kuat untuk bernikah.

Ya, bernikah!

Hanya itu menjadi penguat motivasiku untuk mencuba nasib menjadi kadet PALAPES. Minatku terhadap dunia ketenteraan sahaja tidak cukup kuat bagi meneruskan hasratku, tidak sanggup aku bersusah-payah hanya kerana minat yang tumbuh. Elaun yang ditawarkan menjadi sebab utama menguatkan diri mencuba nasib. Fikirku, elaun inilah yang akan menjadi mahar untuk dirinya kelak.

Saat ujian larian, aku hampir sahaja menyerah. Setelah sekian lama selama 3 tahun tidak aktif bersukan semasa pengajian diploma, mustahil bagiku berlari sejauh 2 kilometer dalam masa yang ditetapkan. Hampir sahaja aku pengsan di pertengahan jalan, tetapi dikuatkan semangat demi mencapai hasrat.

“Kahwin, kahwin, kahwin”

Itu ayat yang kuulang-ulang saat hati ingin menyerah kalah, saat kaki ingin menghentikan langkah. Alhamdulillah, dengan izin Allah SWT, aku berjaya menamatkan larian dalam masa yang ditetapkan.
Masih kuingat saat menghadirkan diri ke KLIA bagi melihat dirinya terbang jauh ke Jordan melanjutkan pelajaran. Kuminta pertolongan kawan baiknya menyerahkan beg kertas berisi sebuah buku sebagai hadiah dan peneman di sana. Terselit pamphlet mengenai PALAPES dan sepucuk surat memaklumkan hasratku bahawa elaun inilah yang akan menjadi mahar buatnya. Itu janjiku pada dirinya yang tidak pernah kulupakan.

Apakan daya, manusia ini mudah berbolak-balik hatinya. Kehangatan yang dirasakan menjadi dingin di pertengahan. Hasrat suci dan murni untuk menyatukan akhirnya bertukar menjadi kemarahan dan kesedihan yang berpanjangan.

Tahun kedua dalam PALAPES, aku mula memberontak. Motivasi yang menjadi penguat semangatku hancur lebur ditelan zaman. Kesibukan berpersatuan saat itu juga menjadi penguat untuk menarik diri dari bidang ketenteraan yang begitu mengikat dan melemaskan.

Sangkaanku, keaktifanku berpersatuan dapat memadamkan api kemarahan dan kenangan tetapi hakikatnya, semakin kuaktif, semakin kuat pula ingatan datang menerpa.
Kerana jalan inilah yang menemukanku dengannya! Kerana jalan inilah yang membuatku menginginkan dirinya! Kerana ingin istiqamah melalui Baitul Muslim yang dibina!

Aku mula menghentikan larian, mengambil masa menyedut udara segar. Aku mula berfikir ke mana arah tujuku. Cinta dan perjanjian hanya sebuah mainan biarpun pemainnya seorang ustaz mahupun ustazah yang mengaji agama!

Aku mula muak ungkapan Jihad yang dilaungkan setiap persatuan tetapi membawa kepada perpecahan umat Islam itu sendiri.

Aku mula muak perlakuan ustaz dan ustazah yang sering menyalahkan Tuhan dengan takdir yang diberikan sedangkan Tuhan memberi kudrat kepada insan melakar garisan kehidupannya sendiri. Segala takdir memang berlaku dengan izin Tuhan tetapi atas pilihan yang turut diberikan.

Tuhan tidak pernah zalim, apatah lagi kepada hamba-hambaNYA yang mahu menghampiriNYA. Hanya kita yang seringkali bodoh dalam membuat pemilihan dan penafsiran.

Akhirnya, minatku dalam ketenteraan kian tumbuh. Daripada menyibukkan diri dengan berpersatuan yang hanya melaungkan jihad tetapi saat seruan jihad itu sampai, mampukah mereka menghadapinya? Maka aku mula menumpukan ke bidang ketenteraan.

Ahli-ahli persatuan sering menjadikan topik Baitul Muslim (perkara paling benci aku dengar) saat bersembang. Tidak kurang ramai ahlinya bernikah awal atas alasan menjaga hati dan istiqamah dalam perjuangan.

Saat itu, muncul di benakku pemikiran bahawa lebih baik aku berkahwin dengan perjuangan yang sebenar, mengorbankan diri demi negara tercinta, bukan sekadar laungan penuh semangat, tetapi akan kubuktikan dengan amal.

Pelbagai peperangan dalaman kuhadapi untuk tiba ke saat ini. BMI yang berlebihan di saat akhir membuatkan aku melawan nafsu makan dan memaksa diri melakukan senaman lebih dari kebiasaan.
Keluarga yang banyak memberikan sokongan
Bersama-sama Panglima Latihan, Mejar Jeneral Datuk Tengku Ahmad Noor Tuan Chik
Bersama-sama RSM PALAPES UM, Encik Mushaidi
Kenangan bertemu dengan pegawai-pegawai dan jurulatih-jurulatih yang hebat, ibubapa yang begitu memberikan sokongan, rakan-rakan yang menerima kekurangan kita dan sudah dianggap seperti keluarga sendiri, pahit manis, gelak tangis; semuanya menghadirkan pelbagai kenangan yang tidak mungkin mampu dilupakan.
Melapor di Rejimen 515 Askar Wataniah untuk ditumpangkan ke PALAPES UM

Hari ini aku menjadi seorang pegawai simpanan Angkatan Tentera Malaysia.

‘Paku’ yang tertancap di bahu, bukan suatu kebanggaan tetapi suatu amanah dan tanggungjawab demi masa depan negara yang tercinta.

12 Ogos 2017, tarikh keramat yang pasti tidak mampu kulupakan. 

Setelah 3 tahun terpisah membawa haluan masing-masing setamatnya DQ, berjumpa kembali di Istiadat Pentauliahan Diraja PALAPES Universiti Awam Ke-36