Sunday, January 8, 2017

Tanggungjawab dan Peranan Wanita Dalam Gerakan Dakwah : Suatu Kajian Terhadap Pelajar Darul Quran (Bahagian Isi Kertas Kerja Diploma 2014)

BAB DUA

WANITA DAN DAKWAH

1.0            PENGERTIAN DAN KONSEP DAKWAH

2.0.1    DEFINISI DAKWAH
Sebelum melangkah lebih jauh, penulis berpendapat dakwah itu harus difahami dari sudut terminologi dan secara teori agar dakwah itu dapat difahami sejelas-jelasnya sebelum membicarakan peranan dan tanggungjawab wanita dalam dakwah itu sendiri. [Dakwah merupakan sebuah perkataan yang berasal daripada bahasa Arab yang membawa pelbagai pengertian. Antara pengertian yang paling menonjol ialah meminta tolong, beribadat, memandu, menjemput, mengajak, memanggil, menyeru dan melaung.][1]
Muhammad Al-Ghazali menjelaskan maksud dakwah sebagai satu program (barnamij) yang lengkap, yang kesemua peringkatnya mengandungi semua ilmu pengetahuan yang diperlukan oleh manusia bagi menjelaskan tujuan dan matlamat hidup  dan bagi menyingkap petunjuk jalan yang menjadi petunjuk kepada mereka.[2]
Dr. Yusof al-Qaradawi pula memberi definisi dakwah sebagai usaha membawa orang lain kepada agama Islam, supaya mengikut petunjuk agama ini, melaksanakan segala ketetapannya di muka bumi ini, mengkhususkan segala bentuk perhambaan diri, permohonan dan taat kepada Allah sahaja, melepaskan diri daripada segala kongkongan yang bukan daripada Allah (taghut) yang terpaksa dipatuhi, memberi hak kepada yang ditentukan haknya oleh Allah, menafikan hak ke atas orang yang dinafikan hak oleh Allah, menyeru kepada kebaikan dan menegah kemungkaran, dan berjihad pada jalan-Nya.[3]
Berdasarkan takrifan dakwah oleh beberapa orang tokoh di atas, dapatlah disimpulkan secara mudah bahawa dakwah itu ialah […usaha yang dilakukan oleh seseorang atau kumpulan dengan pendekatan tertentu untuk membawa manusia kepada keredaan Allah.][4] Dakwah mempunyai pengertian yang sangat luas dan pelbagai memandangkan ragam manusia itu sendiri yang pelbagai. Jadi, sudah tentulah pelbagai cara, metod atau kaedah digunakan untuk menepati fitrah manusia itu sendiri yang akhirnya membuatkan dakwah itu ditakrifkan dengan pelbagai pengertian; berbeza-beza mengikut orang yang melaksanakannya di tempat masing-masing.
Allah SWT banyak menerangkan mengenai perihal dakwah di dalam Al- Quran. Bermula daripada sebelum hijrah baginda Rasulullah SAW sehinggalah tertubuhnya Negara Islam Madinah Al-Munawwarah, banyak ayat Al-Quran yang menyentuh mengenai takrifan, tuntutan dan segala permasalahan yang berkaitan dengan dakwah. Berikut merupakan beberapa potong ayat suci dari Al-Quran yang menyentuh dakwah dari pelbagai sudut sama ada dari sudut metodologi, kewajipan mahupun pengertian.
Firman Allah SWT:
 ادْعُ إِلَى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَنْ ضَلَّ عَنْ سَبِيلِهِ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ [5]
Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk
Berdasarkan ayat-ayat di atas, dakwah dapat disimpulkan sebagai satu usaha yang mengajak orang lain supaya melakukan kebaikan dan meninggalkan keburukan atau lebih tepat lagi menyeru orang lain supaya melakukan segala kebaikan dari sudut pandang agama Islam itu sendiri dan meninggalkan segala keburukan yang dilarang dan ditegah oleh syariat. Dakwah bukan bererti agama Islam itu sendiri tetapi dakwah ialah usaha yang dilakukan bagi menyeru manusia supaya menerima agama Islam sebagai satu bentuk kehidupan dari segenap aspek larangan mahupun pensyariatannya.

2.0.2    HUKUM DAKWAH
Hukum berdakwah sering diperdebatkan daripada dahulu sehingga sekarang sama ada dalam kalangan pendakwah sendiri mahupun para ulama’ dalam pelbagai lapangan ilmu. Kebanyakan mereka sering berselisih sama ada hukum dakwah itu Fardu Ain ataupun Fardu Kifayah. Sekiranya kita mengkaji tentang hukum ini berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah, tiada keterangan yang jelas dan sorih menerangkan sama ada ia Fardu Ain ataupun Fardu Kifayah. Jadi, ulama’ berbeza pendapat dalam menerangkan hukum dakwah. [Golongan pertama berpendapat ia fardu kifayah, sementara golongan kedua pula berpendapat ia fardu ain. Kedua-dua golongan tersebut mempunyai hujah masing-masing, sama ada dari al-Qur’an, hadis atau daripada sumber-sumber hukum lain.][6]
Orang-orang yang termasuk dalam golongan yang mengatakan hukum dakwah ini Fardu Kifayah sering berhujah menggunakan beberapa ayat Al-Quran yang cukup masyhur dalam memperdebatkan hukum dakwah iaitu Surah Ali-Imran ayat 104, Surah At-Taubah ayat 122 dan Surah Al-Maidah ayat 105.
Firman Allah SWT:
وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ [7]
Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.
  
Ayat ini dihuraikan secara terperinci bagi membincangkan persoalan yang membabitkan hukum dakwah. Perkataan منكم daripada ayat di atas menunjukkan bahawa perintah ayat tersebut ditujukan kepada sebahagian daripada orang Islam sahaja.[8] Menurut Al-Qurtubi, menyeru kepada perkara ma’aruf dan mencegah kemungkaran merupakan Fardu Kifayah.[9]Al-Shawkani pula menerangkan bahawa perintah tersebut khusus untuk ahli ilmu yang mengetahui tentang perkara-perkara yang ditegah dan perkara-perkara yang diarahkan.[10] Begitulah pendapat-pendapat ulama’ yang mengatakan bahawa hukum dakwah itu fardu kifayah berdasarkan firman Allah dalam ayat 104 Surah Ali-Imran.
Setelah penulis meneliti satu persatu hujah-hujah yang dikemukakan oleh kedua-kedua pendapat, dapatlah disimpulkan bahawa hukum dakwah itu berubah-ubah mengikut suasana. Ia menjadi Fardu Ain yang wajib ditunaikan oleh semua orang Islam mengikut tahap pemikiran, pengetahuan dan pemahaman individu itu sendiri dan ia berubah menjadi Fardu Kifayah dalam melaksanakannya secara berkumpulan ataupun berjemaah.
Ini jelas membuktikan tidaklah salah kedua-dua pendapat bahkan kedua-duanya betul dan harus diterima. [Manakala ‘Abd al-Karim Zaydan pula menjelaskan bahawa kewajipan dakwah ke atas seseorang itu ada dua peringkat. Pertama, peringkat perseorangan yang mesti dilakukan oleh setiap orang Islam, berdasarkan dia itu orang Islam. Kedua, peringkat berjamaah, berdasarkan dia itu menjadi anggota kepada jamaah.][11]

2.0.3    KEPERLUAN DAKWAH SEMASA

Melayari bahtera kehidupan pasca moden yang kian mencabar dan menekan agama Islam, dakwah menjadi suatu kewajipan yang harus dilaksanakan oleh setiap individu tanpa mengira jantina sama ada lelaki mahupun perempuan. Dakwah harus giat dan terus dijalankan tanpa titik noktah supaya fitnah-fitnah yang melanda agama Islam ini dapat dihapuskan secara total.
Dunia telah mengalami transformasi budaya yang sangat pesat. Teknologi yang kian pesat dan maju membuatkan pelbagai maksiat mudah dilakukan dengan lebih terancang dan teratur. Sistem ciptaan manusia yang mengagung-agungkan Barat diguna pakai hampir seantero dunia sedikit sebanyak menyumbang kepada penolakan sistem beragama seterusnya menatijahkan penghayatan kepada cara dan sistem hidup Islam semakin menipis sehinggakan terdapat orang-orang yang mengaku beragama Islam turut menolak secara total sistem beragama.
Pelbagai maksiat tidak lagi disembunyikan malahan disebarkan secara meluas dan terang-terangan seperti zina, buang anak, minum arak, berjudi, melacur dan pelbagai lagi kegiatan yang merancakkan industri seks seolah-olah menjadi satu norma kehidupan dalam masyarakat hari ini. Masyarakat dunia hari ini menganggap isu ini bukan lagi menjadi satu isu kebejatan sosial yang harus dibendung, malahan mereka mula menerimanya sebagai satu gaya hidup yang perlu diterima dalam mengiringi kepantasan zaman yang telah berubah.
Arus jahiliah yang begitu hebat dan kuat ini harus segera ditangani secepat mungkin agar Islam kembali ditegakkan di atas muka bumi Allah SWT ini. Derasnya arus jahiliah moden zaman kini yang telah membelenggu dunia harus segera dihentikan. Maka dakwah sangat berperanan besar dalam mengubah situasi yang parah ini di samping mengubah laluan kehidupan manusia yang telah tersasar agar kembali ke pangkal jalan iaitu pulang ke pangkal Tuhan.
Hanya dakwah yang mampu menyentuh hati manusia agar kembali mentaati Allah SWT. Walau apapun cara atau metod yang digunakan dalam berdakwah dan selagi mana ia menepati dengan cara yang berlandaskan Al-Quran, As-Sunnah, Qias dan Ijma’ Ulama’; maka wajiblah dakwah itu untuk terus dilaksanakan. Dakwah harus digerakkan oleh sesiapa sahaja dalam kalangan orang Islam tanpa mengira pangkat, keturunan ataupun harta. Tuntasnya, dakwah harus dilaksanakan oleh segenap umat Islam yang masih bernafas di atas muka bumi ini mengikut kemampuan dan kefahaman masing-masing dalam memastikan fitnah yang menimpa agama ini dapat dihapuskan.

Firman Allah SWT :
[12] وَقَاتِلُوهُمْ حَتَّىٰ لَا تَكُونَ فِتْنَةٌ وَيَكُونَ الدِّينُ لِلَّهِ ۖ فَإِنِ انتَهَوْا فَلَا عُدْوَانَ إِلَّا عَلَى الظَّالِمِينَ
Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah, dan (sehingga) menjadilah ugama itu semata-mata kerana Allah. Kemudian, jika mereka berhenti maka tidaklah ada permusuhan lagi melainkan terhadap orang-orang yang zalim.  

2.1            PENDAKWAH WANITA

Masyarakat hari ini sering menafikan tanggungjawab dan peranan seseorang wanita termasuklah dalam lapangan dakwah. Lebih mendukacitakan apabila golongan yang menafikan peranan dan tanggungjawab wanita dalam lapangan dakwah ini adalah golongan yang mendalami agama sendiri termasuklah golongan wanita itu sendiri. Oleh itu, penulis berpendapat bahawa bab ini sangat penting dalam merungkaikan persoalan-persoalan yang bermain-main di minda dan membetulkan persepsi dan tanggapan terhadap peranan yang boleh dimainkan oleh golongan wanita terutamanya dalam lapangan dakwah. 
2.1.1       DALIL-DALIL KEHARUSAN DAKWAH BAGI WANITA

Wanita tidak terkecuali daripada melaksanakan dakwah. Sumber dari Al-Quran dan As-Sunnah sendiri banyak menyebut dalil-dalil ataupun bukti-bukti yang menggalakkan wanita ataupun muslimah untuk bersama-sama menyertai lelaki dan para pemuda untuk berdakwah. Berdakwah merupakan satu ladang kebajikan bagi meraih pahala dan ganjaran daripada Allah SWT. Maka, ladang kebajikan ini tidak tertumpu pada satu golongan sahaja tetapi kepada semua hamba Allah SWT yang bernafas di atas muka bumi ini. Dakwah mampu menyuntik hati-hati insan yang lalai supaya kembali mentaati Allah SWT yang akhirnya mencetuskan suatu perubahan dalam kelompok masyarakat ke arah yang lebih baik. Maka, wanita tidak terkecuali dalam usaha membentuk sebuah masyarakat yang lebih baik dan sejahtera.
Allah menciptakan manusia kepada lelaki dan wanita supaya mereka hidup bersama dalam sebuah masyarakat. Kedua-duanya diberikan potensi yang sama, iaitu potensi akal dan potensi hidup (naluri dan jasmani). Potensi-potensi ini mendorong manusia terjun dalam kancah kehidupan dan melakukan aktiviti politiknya. Kedua-duanya diciptakan oleh Allah bagi saling bekerjasama dalam menyelesaikan urusan dan permasalahan antara mereka.[13]


Allah SWT telah berfirman :
 وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ ۚيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَيُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَيُطِيعُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ ۚأُولَٰئِكَ سَيَرْحَمُهُمُ اللَّهُ ۗإِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ [14]
Dan orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat baik, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan membayar zakat, serta taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana.


Bebanan syariat ke atas lelaki dan perempuan adalah sama, kecuali pada perkara-perkara yang dikhususkan bagi kaum perempuan seperti haid, istihadah, nifas, bersalin, penyusuan dan warisan. Kedua-duanya adalah hamba Allah yang dituntut bagi mengabdikan diri kepada Allah, melaksanakan amar ma’ruf nahi munkar dan memakmurkan dunia. Kedua-duanya juga dituntut supaya bekerjasama, sesuai dengan firman-Nya: “ Sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain.” [15]
Seringkali kita mendengar ungkapan Inggeris yang berbunyi, “Behind a great man, lies a great woman”. Ini menunjukkan seseorang wanita itu sangat memainkan peranan dalam kejayaan seseorang lelaki. Begitu juga dengan jalan dakwah ini. Mata kita pastinya sering menyaksikan musuh-musuh Islam sama ada dari golongan kafir mahupun golongan munafik, mereka tidak menyerang Islam melainkan mereka ditemani wanita-wanita kafir ataupun munafik yang mendukung mereka. Tidaklah seorang lelaki yang berfahaman liberal, sekular mahupun pemikiran-pemikiran yang bertentangan dengan Islam berdiri menentang Islam melainkan di sampingnya wanita yang berfahaman seperti mereka.
Ini berdasarkan Firman Allah SWT:

الْمُنَافِقُونَ وَالْمُنَافِقَاتُ بَعْضُهُمْ مِنْ بَعْضٍ ۚ يَأْمُرُونَ بِالْمُنْكَرِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمَعْرُوفِ وَيَقْبِضُونَ أَيْدِيَهُمْ ۚ نَسُوا اللَّهَ فَنَسِيَهُمْ ۗ إِنَّ الْمُنَافِقِينَ هُمُ الْفَاسِقُونَ [16]
Orang-orang munafik lelaki dan perempuan, setengahnya adalah sama dengan setengahnya yang lain; mereka masing-masing menyuruh dengan perbuatan yang jahat, dan melarang dari perbuatan yang baik, dan mereka pula menggenggam tangannya (bakhil kedekut). Mereka telah melupakan (tidak menghiraukan perintah) Allah dan Allah juga melupakan (tidak menghiraukan) mereka. Sesungguhnya orang munafik itu, merekalah orang-orang yang fasik

Allah SWT turut berfirman :

وَالَّذِينَ كَفَرُوا بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ ۚ إِلَّا تَفْعَلُوهُ تَكُنْ فِتْنَةٌ فِي الْأَرْضِ وَفَسَادٌ كَبِيرٌ [17]
Dan orang-orang yang kafir, setengahnya menjadi penyokong dan pembela bagi setengahnya yang lain. Jika kamu (wahai umat Islam) tidak menjalankan (dasar bantu-membantu sesama sendiri yang diperintahkan oleh Allah) itu, nescaya akan berlakulah fitnah (kekacauan) di muka bumi dan kerosakan yang besar.

Dua ayat dia atas sudah cukup untuk menjelaskan kepada kita bahawa wanita ataupun muslimah turut berperanan dalam menyebarkan dakwah sebagaimana orang-orang kafir dan munafik yang turut memanfaatkan potensi wanita dalam menghancurkan Islam. Dalil-dalil ini secara automatik menjadi bukti dakwah merupakan suatu kewajipan yang harus dijalankan oleh seorang wanita muslimah.

2.1.2       CIRI-CIRI PENDAKWAH WANITA

 Setiap pendakwah haruslah memiliki ciri-ciri ataupun kualiti pada diri mereka bagi membezakan mereka daripada manusia yang lain. Hal ini disebabkan mereka ialah orang yang mengembangkan dan menyebarluaskan agama Allah SWT yang mulia ini. Para pendakwah yang akan mewarnai corak kehidupan masyarakat dengan warna dan bentuk yang selari dengan tuntutan agama ini. Lantaran itu, merupakan suatu kewajipan bagi seorang pendakwah untuk memiliki keperibadian yang jitu dan konkrit sesuai dengan seruannya kepada orang lain.
Seorang pendakwah haruslah beriman dengan sebenar-benar keimanan. Orang yang benar-benar beriman ini dapatlah ditakrifkan sebagai seorang yang menjaga ibadahnya, melaksanakan segala perintah Allah SWT dan Rasulullah SAW serta dia pula menahan dirinya daripada melakukan maksiat sama ada secara terang-terangan mahupun sembunyi-sembunyi, sama ada dosa-dosa kecil mahupun dosa-dosa besar. Allah SWT telah berfirman mengenai sifat-sifat orang yang beriman:
إِنَّ الْمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ وَالْقَانِتِينَ وَالْقَانِتَاتِ وَالصَّادِقِينَ وَالصَّادِقَاتِ وَالصَّابِرِينَ وَالصَّابِرَاتِ وَالْخَاشِعِينَ وَالْخَاشِعَاتِ وَالْمُتَصَدِّقِينَ وَالْمُتَصَدِّقَاتِ وَالصَّائِمِينَ وَالصَّائِمَاتِ وَالْحَافِظِينَ فُرُوجَهُمْ وَالْحَافِظَاتِ وَالذَّاكِرِينَ اللَّهَ كَثِيرًا وَالذَّاكِرَاتِ أَعَدَّ اللَّهُ لَهُمْ مَغْفِرَةً وَأَجْرًا عَظِيمًا [18]

Sesungguhnya orang-orang lelaki yang Islam serta orang-orang perempuan yang Islam, dan orang-orang lelaki yang beriman serta orang-orang perempuan yang beriman, dan orang-orang lelaki yang ta’at serta orang-orang perempuan yang ta’at, dan orang-orang laki yang benar serta orang-orang perempuan yang benar, dan orang-orang lelaki yang sabar serta orang-orang perempuan yang sabar, dan orang-orang lelaki yang merendah diri (kepada Allah) serta orang-orang perempuan yang merendah diri (kepada Allah), dan orang-orang lelaki yang bersedekah serta orang-orang perempuan yang bersedekah, dan orang-orang lelaki yang berpuasa serta orang-orang perempuan yang berpuasa, dan orang-orang laki yang memelihara kehormatannya serta orang-orang perempuan yang memelihara kehormatannya, dan orang-orang lelaki yang menyebut nama Allah banyak-banyak serta orang-orang perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak, - Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar.

Begitulah salah satu ciri yang perlu ada pada seorang pendakwah wanita iaitu beriman dengan sebenar-benar keimanan. Hal ini bagi mengelakkan dakwah mereka tidak mampu memberi kesan kepada orang yang didakwahkan selain memelihara seorang wanita agar tidak mengalah dalam usaha berdakwah. Keimanan yang benar juga mampu menjadi benteng dan perisai dalam menangkis serangan-serangan musuh Islam yang amat memusuhi dakwah.
Selain itu, seorang pendakwah wanita haruslah mempunyai akhlak yang terpuji bagi memelihara dirinya daripada orang-orang lelaki yang berniat jahat terhadapnya. Segala tutur kata, lenggok badan, budi bicara serta pandangannya haruslah sentiasa diawasi agar dirinya terselamat daripada kejahatan nafsu syahwat yang menguasai diri bagi seseorang lelaki. Hal ini bagi menjamin kesucian seorang wanita yang telah ditinggikan martabatnya dalam Islam dan memelihara maruahnya daripada tercemar oleh anasir-anasir jahat.

Allah SWT telah berfirman :
Wahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana perempuan yang lain kalau kamu tetap bertaqwa. Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan).

Walaupun ayat ini kelihatan diturunkan kepada isteri-isteri Nabi Muhammad SAW semata-mata namun istifadhahnya boleh diambil oleh semua wanita yang menjalankan kegiatan dakwah di luar sana. Seorang pendakwah wanita haruslah mengikut jejak langkah yang telah ditonjolkan oleh isteri-isteri Nabi dalam menyebarluaskan agama ini kerana merekalah orang yang mendapat tarbiyah secara langsung oleh Allah SWT melalui perantaraan Rasulullah SAW sendiri.
…Sebab pelaku dakwah adalah model yang membawa keteladanan, dan model yang menjadi teladan selalu menjadi cahaya yang menerangi dan petunjuk yang menuntun ke jalan. Sementara orang-orang yang berhati sakit selalu mengintai peluang terhadap para wanita suci dan mencari aib orang-orang yang tidak bersalah agar menjadi noda dengan kefasikan dan kesesatannya. Maka hendaknya setiap perkataan diperhitungkan dengan aturan, setiap gerak-gerik dengan aturan, nada bicara dengan aturan, dan semua itu harus dipertimbangkan…[20]
Seorang pendakwah juga haruslah ikhlas dalam melaksanakan kewajipannya. Dia haruslah mengikhlaskan jiwa, tujuan dan hatinya semata-mata demi menggapai keredaan Allah SWT. Fikirannya harus kosong daripada memikirkan ganjaran dan balasan kehidupan di dunia. Allah SWT berfirman:
قُلْ إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ [21]
Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Tiada sekutu bagiNya, dan dengan yang demikian sahaja aku diperintahkan, dan aku (di antara seluruh umatku) adalah orang Islam yang awal pertama – (yang berserah diri


Seorang yang ikhlas tidak akan pernah peduli pujian dan cacian yang dilontarkan oleh orang terhadapnya. Perkara yang penting baginya hanyalah keredaan Tuhannya. [ Ibnu al-Qayyim mengemukakan bahwa merupakan suatu kemustahilan antara ikhlas dapat menyatu dengan sifat senang dipuji dan disanjung. Ia melukiskan dengan mengibaratkan kemustahilan air dapat menyatu dengan api, seraya mengatakan : “Tidak akan menyatu dalam hati antara ikhlas, senang pujian, dan tamak terhadap apa yang ada pada orang lain, seperti halnya dengan air tidak dapat menyatu dengan api, dan biawak dengan ikan paus.”][22]
Ikhlas sangat penting dalam menempuhi jalan dakwah sehinggakan Imam Syahid Hassan Al-Banna menjadikannya sebagai salah satu daripada 10 rukun bai’ah supaya setiap orang Islam sentiasa memperbaharui niat dalam berdakwah dan membiasakan dirinya daripada perkara-perkara yang membatalkan bai’ahnya. Ikhlas menjadi tunjang utama amalan lebih-lebih lagi dalam melaksanakan tugas yang berat dan mulia ini. Hal ini dapat dilihat melalui kata-katanya, [“Yang saya maksudkan dengan ikhlas ialah supaya saudara Muslim menujukan perkataannya,” ‘amalannya dan perjuangannya kepada Allah dengan mencari keredhaanNya dan ganjaran baikNya tanpa memandang kepada sebarang keuntungan, kebendaan, pangkat, gelaran, maju atau mundur…][23]
Ciri ataupun sifat yang juga amat penting dalam menelusuri liku-liku dakwah ialah sifat sabar. Jalan yang harus ditempuhi oleh seorang pendakwah bukanlah jalan yang mudah dan sebentar bahkan jalan yang harus ditempuhinya ialah jalan yang panjang dan lama. Hal ini digazetkan oleh Allah SWT dalam firmanNya yang berbunyi:
لَوْ كَانَ عَرَضًا قَرِيبًا وَسَفَرًا قَاصِدًا لَاتَّبَعُوكَ وَلَٰكِنْ بَعُدَتْ عَلَيْهِمُ الشُّقَّةُ ۚ وَسَيَحْلِفُونَ بِاللَّهِ لَوِ اسْتَطَعْنَا لَخَرَجْنَا مَعَكُمْ يُهْلِكُونَ أَنْفُسَهُمْ وَاللَّهُ يَعْلَمُ إِنَّهُمْ لَكَاذِبُونَ [24]
Kalau apa yang engkau serukan kepada mereka (wahai Muhammad) sesuatu yang berfaedah yang mudah didapati, dan satu perjalanan yang sederhana (tidak begitu jauh), nescaya mereka (yang munafik itu) akan mengikutmu; tetapi tempat yang hendak dituju itu jauh bagi mereka. Dan mereka akan bersumpah dengan nama Allah dengan berkata: “Kalau kami sanggup, tentulah kami akan pergi bersama kamu”. (Dengan sumpah dusta itu) mereka membinasakan diri mereka sendiri sedang Allah mengetahui bahawa sesugguhnya mereka itu orang-orang yang berdusta ( tentang tidak sanggupnya mengikutmu).

Allah SWT juga berfirman:

أَحَسِبَ النَّاسُ أَنْ يُتْرَكُوا أَنْ يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ [25]
Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?

Ujian merupakan satu bentuk sunnatullah dalam mendidik hamba-hambaNya agar terus taat dan patuh terhadap perintahNya. Hanya sabar mampu menjadi bekal dalam menghadapi ujian-ujian yang menimpa agar terus maju dan istiqamah dalam jalan dakwah ini. Tanpa sifat sabar, nescaya tidak akan sampai matlamat dakwah seseorang ataupun sesetengah kelompok. Luqman Al-Hakim, seorang hamba Allah SWT yang sangat soleh dan taat pernah menasihati anaknya sebagaimana firman Allah SWT:
يَا بُنَيَّ أَقِمِ الصَّلَاةَ وَأْمُرْ بِالْمَعْرُوفِ وَانْهَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَاصْبِرْ عَلَىٰ مَا أَصَابَكَ ۖ إِنَّ ذَٰلِكَ مِنْ عَزْمِ الْأُمُورِ [26]
“Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala’ bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya.

Allah SWT juga memerintahkan rasulNya untuk sentiasa bersabar dalam melaksanakan dakwah kerana jalan dakwah itu sememangnya perit dan sukar. Seorang pendakwah harus faham dan sedar dan bahawa seorang rasul yang dipelihara oleh Allah SWT daripada maksiat dan dijanjikan syurga pun diuji sebegitu hebat dan ditarbiah oleh Allah SWT untuk bersabar, maka lebih-lebih lagilah seorang pendakwah yang hanya merupakan seorang manusia biasa dan sering melakukan maksiat, hendaklah mereka lebih banyak bersabar. Ini jelas dalam firman Allah SWT:
(Jika demikian akibat orang-orang kafir yang menentangmu wahai Muhammad) maka bersabarlah engkau sebagaimana sabarnya Rasul-rasul “Ulil-‘Azmi” (yang mempunyai keazaman dan ketabahan hati) dari kalangan Rasul-rasul (yang terdahulu daripadamu); dan janganlah engkau meminta disegerakan azab untuk mereka (yang menentangmu itu)...

Allah SWT turut berfirman:

Dan bersabarlah terhadap apa yang dikatakan oleh mereka (yang menentangmu), dan jauhkanlah dirimu dari mereka dengan cara yang baik.

Umair bin Habib mengatakan dalam memberi wasiat kepada anaknya: “Apabila salah seorang dari kalian memerintahkan kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang munkar maka hendaklah ia mempersiapkan dirinya sebelum itu untuk menghadapi rintangan dan meyakinkan dirinya dengan ganjaran. Sebab barangsiapa yakin dengan ganjaran dari Allah SWT maka niscaya ia tidak akan menemukan sentuhan rintangan”.[29]

2.1.3       ISU-ISU YANG MELANDA KAUM WANITA DALAM DAKWAH

 Terdapat pelbagai isu yang melanda kaum wanita dalam melaksanakan dakwah sehingga menyebabkan penglibatan mereka terbantut dan terhenti. Kefahaman yang salah dalam menafsir nas-nas yang sahih merupakan isu utama yang harus diperbetul dan dibahaskan semula. Hal ini kerana kefahaman yang salah ini akan membuatkan tindak-tanduk dan pendirian dibina atas dasar yang salah yang akhirnya menatijahkan suatu keputusan yang salah bagi menentukan prioriti mahupun hukum berkaitan kewajipan seseorang wanita dalam dakwah.
  
2.1.3.1 WANITA KURANG AGAMA DAN AKALNYA

Minda yang waras dan peka pastinya tidak menafikan, ramai lelaki hari ini menafikan kemampuan dan kekuatan seseorang wanita. Mereka mencipta pelbagai alasan dan andaian sehingga memperlekeh dan memperkecil peranan wanita. Golongan lelaki dan wanita yang mempelajari agama turut tidak terkecuali dalam isu ini. Mereka hanya menyempitkan tugas seorang wanita untuk menjadi isteri di rumah dan menguruskan rumah tangga semata-mata; bukannya untuk turun ke medan dakwah disebabkan agama dan akal mereka yang lemah. Tidak dinafikan bahawa memang benar akal dan agama wanita itu lemah sebagaimana sabda baginda SAW yang bermaksud :
“Wahai wanita, aku tidak pernah melihat orang yang kurang akal dan agama yang mampu melumpuhkan hati seorang lelaki melebihi kamu. Mereka bertanya: Apakah kekurangan akal dan agama kami Ya Rasulullah? Rasulullah bersabda : Bukankah persaksian wanita sama dengan setengah lelaki? Mereka menjawab: Benar. Rasulullah bersabda: Maka di situlah letak kekurangan akalnya. Bukankah wanita ketika haid tidak boleh solat dan puasa? Mereka menjawab: Benar. Rasulullah bersabda: Maka di situlah letak kekurangan agamanya.”[30]

Hadis ini merupakan hadis sahih yang diriwayatkan oleh Bukhari. Sesiapa pun dalam kalangan umat Islam pastinya tidak menafikan hadis ini kerana martabatnya yang sahih namun pemahaman terhadap hadis ini kadangkala tidak bersandarkan kefahaman yang jelas dan betul. Oleh itu, penulis merasakan bahawa hadis ini harus dihurai agar pemahaman yang salah ini dapat diperbetul.
Sebenarnya kekurangan agama yang dimaksudkan di dalam hadith ini telah diterang oleh Rasulullah SAW bahawa kekurangan tersebut adalah dari segi ‘kuantiti’ sahaja bukannya dari segi ‘kualiti’. Ini adalah kerana apabila wanita itu didatangi haid, mereka tidak boleh mendirikan sembahyang dan tidak boleh berpuasa, sedangkan lelaki sentiasa boleh bersolat dan berpuasa. Wanita itu akan menqadhakan puasanya dan tidak perlu menqadhakan solatnya yang menyebabkan jumlah dan bilangan solatnya kurang dan sedikit berbanding kaum lelaki. Inilah yang dimaksudkan dengan kekurangan agama bagi wanita, iaitu kekurangan dari segi ‘kuantiti’ bukannya ‘kualiti’…[31]
Hal ini menjelaskan bahawa kekurangan agama yang dimaksudkan merujuk kepada perbezaan pada kuantiti bukannya kualiti. Berkemungkinan besar ada wanita yang lebih hebat ibadah sunatnya daripada seseorang lelaki sehingga memungkinkan dia mencapai taraf dan darjat yang lebih tinggi daripada seorang lelaki.
Oleh yang demikian, persaingan bagi mencapai kualiti yang lebih baik adalah setara tanpa mengira jantina sama ada dia seorang lelaki ataupun seorang wanita. Berkemungkinan besar wanita mampu untuk mendahului lelaki. Tiada perbezaan dalam merebut darjat dan ganjaran daripada Allah SWT. Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT:
مَنْ عَمِلَ صَالِحًا مِنْ ذَكَرٍ أَوْ أُنْثَىٰ وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَلَنُحْيِيَنَّهُ حَيَاةً طَيِّبَةً ۖ وَلَنَجْزِيَنَّهُمْ أَجْرَهُمْ بِأَحْسَنِ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ [32]
Sesiapa yang beramal salih, dari lelaki atau perempuan sedang ia beriman, maka sungguh Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka, dengan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan.

Seandainya kekurangan agama itu merujuk kepada kuantiti, peranan yang boleh dimainkan dalam lapangan dakwah haruslah tidak dinafikan malahan harus dimanfaatkan sebaiknya. Gerak kerja wanita dalam dakwah harus dijadikan salah satu cara bagi meningkatkan kuantiti ibadah yang mampu meningkatkan kualiti diri mereka. Wanita haruslah berani tampil ke hadapan dalam lapangan dakwah agar ruang bagi mereka berbuat amal kebajikan bagi meraih pahala serta ganjaran daripada Allah SWT dapat digunakan sepenuhnya.
Manakala kekurangan akal pula, bukanlah bermakna bahawa setiap wanita kurang akalnya jika dibanding dengan akal lelaki. Boleh jadi akal seseorang wanita lebih sempurna dari akal kebanyakan lelaki. Ini merupakan kenyataan yang tidak boleh dipertikaikan lagi. Tujuan Allah SWT mengurniakan kekuatan akal yang menjadikan mereka mampu menguasai perasaan dan hawa nafsunya dan Allah menentukan bahawa wanita kurang kemampuannya daripada lelaki yang memungkinkan perasaannya mengatasi pertimbangan akalnya, bukanlah ia bermakna satu kemuliaan untuk kaum lelaki di hadapan wanita tetapi untuk memberi ruang pada kedua-dua pihak agar saling bantu membantu dalam melaksanakan tanggungjawab yang telah ditentukan…[33]
Kekurangan yang dimaksudkan ini sebenarnya bersifat nisbi (relatif), sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Imam Ibnu Hajar al-Asqalani : “Yang sempurna itu adalah kurang jika dinisbahkan dengan yang lebih sempurna”. Rasulullah SAW juga tidak pernah menyifatkan kaum lelaki dengan kesempurnaan akal, tetapi memang tidak diragui bahawa akal lelaki secara umumnya lebih kuat dari perasaannya. Kenyataan ini menjadikan kita selalu cenderung untuk mentafsirkan kekurangan akal wanita itu apabila dinisbahkan kepada perasaannya…[34]
Seandainya kekurangan agama dan akal wanita itu dihuraikan sebagaimana yang disebutkan di atas, maka tidak seharusnya bagi seseorang lelaki mahupun wanita sendiri lebih-lebih lagi yang mendalami agama untuk menafikan tanggungjawab dan peranan yang dapat dimainkan oleh wanita dalam lapangan dakwah. Mereka juga tidak seharusnya menjadikan hadis yang mulia ini sebagai bahan untuk menafikan kaum wanita dalam berdakwah.

2.1.3.2 KEKUASAAN LELAKI TERHADAP WANITA

Fahaman kedua yang wajib diperbetul ialah tentang kepimpinan seseorang lelaki terhadap kaum wanita. Ramai dalam kalangan kita yang terdiri daripada bukan sahaja lelaki malahan wanita sendiri menganggap kepimpinan merupakan kelebihan dan kemuliaan seseorang lelaki terhadap wanita. Hakikatnya, kepimpinan bukanlah merupakan kelebihan ataupun kemuliaan tetapi merupakan sebuah amanah terhadap lelaki tersebut untuk memelihara dan menjaga wanita terutamanya dalam berumahtangga. Terdapat beberapa keistimewaan pada diri lelaki yang menyebabkan Allah SWT memikulkan padanya amanah yang sangat berat ini. Ini berdasarkan firman Allah SWT:
الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاءِ بِمَا فَضَّلَ اللَّهُ بَعْضَهُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ وَبِمَا أَنْفَقُوا مِنْ أَمْوَالِهِمْ  ...[35]
Kaum lelaki adalah pemimpin bagi wanita, kerana Allah telah melebihkan orang lelaki ke atas wanita, dan juga kerana orang lelaki telah membelanjakan harta mereka…



Kelebihan bagi lelaki yang dimaksudkan di sini ialah berkaitan dengan keistimewaan-keistimewaan tertentu sahaja yang menjadikan mereka lebih berupaya untuk memimpin. Ia bukanlah satu kelebihan yang mutlak. Malah kaum wanita lebih lagi mengatasi kaum lelaki pada perkara yang berkaitan dengan penjagaan anak-anak kecil contohnya. Kenyataan ini menguatkan lagi bahawa isunya di sini ialah isu perbezaan tugas dan tanggungjawab antara lelaki dan wanita.[36]
Hal ini menjelaskan kepada kita bahawa tidak dinafikan lelaki mempunyai kelebihan dalam kepimpinan namun itu tidak bermakna mereka berkuasa mutlak dalam kepimpinan sehingga menidakkan tanggungjawab dan peranan wanita dalam kepimpinan terutamanya perkara-perkara yang melibatkan kegiatan dakwah. Pemikiran yang mengatakan hanya lelaki yang menetapkan sistem, perancangan dan ketentuan dalam berdakwah merupakan perkara yang amat salah kerana wanita lebih memahami cara dan metod yang terbaik dalam berdakwah sesama wanita.

2.1.3.3 WANITA YANG BAIK HARUS MENETAP DALAM RUMAH

Sebahagian besar daripada kita tidak mengira jantina sama ada lelaki mahupun wanita sendiri meyakini bahawa wanita tidak boleh keluar rumah kecuali apabila keadaan yang sangat terdesak. Anggapan mereka ini berdasarkan firman Allah SWT:
وَقَرْنَ فِي بُيُوتِكُنَّ وَلَا تَبَرَّجْنَ تَبَرُّجَ الْجَاهِلِيَّةِ الْأُولَىٰ ۖ  [37]
Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang Jahiliyah zaman dahulu…

Wanita muslimah tempatnya adalah di rumahnya, menetap dengan perasaan yang tenang dan rehat kerana dia dapat melaksanakan tanggungjawab utamanya yang bersesuaian dengan fitrahnya yang diciptakan Allah SWT untuknya. Dalam situasi ini dia dapat menumpukan kerjanya dengan sebaik mungkin. Namun jika sekiranya ia berasa menetap di rumah merupakan paksaan dan sentiasa mencari peluang untuk keluar bebas tanpa sebab, maka pada ketika itu ia telah menyalahi kewajipan menetap di rumah yang telah Allah SWT wajibkan ke atasnya, kerana kesannya ia akan gagal dalam menjalankan tanggungjawab di dalam rumahtangganya.[38]
Ayat ini juga menunjukkan larangan wanita dari bertabarruj (bersolek dan berhias) sebagaimana orang-orang jahiliyyah dahulu kala. Kita tertanya-tanya adakah wanita dilarang bersolek di rumah untuk suaminya? Atau adakah ia amalan yang baik dalam melayani suaminya? Yang benarnya, wanita yang keluar rumah dengan bertabarruj hukumnya haram tanpa syak lagi. Oleh yang demikian, maka ayat ini memberi maksud bahawa wanita muslimah hendaklah menetap sahaja di rumahnya agar dia dapat melaksanakan tanggungjawab rumahtangganya. Jika ia keluar dengan alasan yang dibenarkan oleh syarak, maka wajiblah ke atasnya mengelak diri dari bertabarruj seperti orang-orang jahiliyyah dahulu kala. Oleh yang demikian ayat ini begitu nyata dan jelas mewajibkan wanita apabila keluar dari rumahnya tidak bersolek dan berhias-hias. Ia bermaksud memberi jaminan keharusan keluar rumah jika ada sebab-sebab yang diizinkan oleh syarak.[39]
Dapatlah disimpulkan di sini bahawa hukum wanita keluar daripada rumah bergantung pada niat dan perilakunya. Seandainya niat dan perilakunya berlandaskan syara’, maka hukumnya boleh jadi wajib, harus ataupun sunat. Namun, seandainya niat dan perilakunya yang berlebih-lebihan dalam bersolek, maka hukumnya boleh jatuh kepada makruh atau haram.
Tuntasnya, apabila wanita keluar untuk melaksanakan kewajipan dakwah, maka ia tidak tergelincir dari landasan syara’ dan dibenarkan kerana ia merupakan sebahagian daripada amal kebajikan dan kewajipan yang harus dilaksanakan oleh setiap individu tanpa mengira jantina lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan isu-isu yang hanya boleh difahami oleh golongan wanita sahaja seperti dirogol, dipaksa gugurkan anak dan dipaksa melacur.

2.1.4 PERANAN DAN TANGGUNGJAWAB WANITA DALAM  GERAKAN DAKWAH

Bab ini merupakan bab yang amat penting dan menjadi tumpuan kepada hasilan ilmiah ini. Penulis akan menghuraikan secara terperinci peranan-peranan dan tanggungjawab wanita dalam sesebuah gerakan dakwah yang sering dipandang enteng dan rapuh oleh sesetengah golongan. Bab ini diharapkan dapat membuka mata orang yang memandang rendah terhadap peranan seseorang wanita dan membetulkan persepsi yang salah.

2.1.4.1 MEDAN DAKWAH BAGI KAUM WANITA

Wanita merupakan sekelompok entiti yang sangat besar yang mewakili separuh daripada jumlah masyarakat. Dalam era globalisasi yang begitu pesat membangun, wanita-wanita Islam khususnya menghadapi pelbagai tekanan berat dari segenap sudut sehingga ramai dalam kalangan mereka terpengaruh dan terpedaya dengan tipu daya orang-orang kafir. Oleh itu, pendakwah-pendakwah dari kalangan wanita sendiri seharusnya turun ke lapangan kerana mereka lebih memahami jiwa dan psikologi seseorang wanita itu sendiri. Pendakwah wanita lebih memahami tentang jiwa dan cara yang sesuai untuk diaplikasikan dalam menyeru wanita-wanita yang telah terpedaya agar pulang ke jalan yang diberkati dan diredai oleh Allah SWT.
Hakikatnya, pedakwah wanita bukanlah sebarangan wanita. Pendakwah wanita merupakan seseorang yang mempunyai visi dan misi yang hebat dalam menegakkan kalimah Allah SWT. Mereka bukanlah seperti wanita-wanita yang lain yang hanya tahu untuk bersukaria dan patuh pada kehendak sekeliling. Oleh itu, semangat ini tidak harus dibazirkan dan harus dimanfaatkan sepenuhnya demi kegemilangan Islam.

2.1.4.2 PENDIDIK DAN PENTARBIAH PERINGKAT AWAL

Wanita merupakan golongan yang cukup sinonim dengan kanak-kanak. […ia merupakan sekolah pertama yang memproduk generasi dan para kader umat. Kaum wanitalah yang meletakkan fondasi awal untuk membangun istana kepahlawanan, di samping menyalakan tekad membara di dada kaum muda sekaligus para tokoh.][40]
Seseorang yang waras dan rasional akal fikirannya pastinya tidak menafikan bahawa wanita merupakan golongan yang cukup sesuai dalam menanam dan membentuk minda kanak-kanak agar menjadi golongan yang berguna terutamanya dalam sesebuah perjuangan Islam. Oleh itu, ini merupakan dakwah secara halus yang dapat dimanfaatkan oleh seorang insan bergelar wanita. Ini merupakan suatu bentuk dakwah secara psikologi. Jika tidak sebagai seorang ibu di rumah, maka wanita boleh menjadi seorang guru yang membentuk fikiran dan semangat kepada seorang kanak-kanak untuk terus beriltizam dengan kehidupan Islam. Lantaran itulah, ramai guru pada hari ini majoritinya ialah golongan wanita disebabkan sifat seorang pendidik yang begitu menebal dalam diri mereka.

2.1.4.3 DAKWAH MELALUI PENULISAN

Wanita merupakan insan yang cukup kaya dengan perasaan dan jiwa. Tidak dinafikan, penulisan wanita kadangkala cukup menyentuh perasaan dan mampu menyampaikan mesej yang jelas kepada pembaca. Wanita cukup berperanan besar untuk berdakwah melalui penulisannya untuk mengetuk pintu-pintu hati manusia keseluruhannya. Hal ini terbukti kebenarannya apabila wujud pelbagai tokoh wanita yang berdakwah melalui penulisannya sama ada penulis tempatan mahupun antarabangsa.
Antara tokoh-tokoh wanita yang berdakwah melalui penulisan ialah Zainab Al-Ghazali; seorang ahli Ikhwan Muslimin yang menceritakan pengalamannya sewaktu ditahan di penjara Mesir, Zabrina A. Bakar; seorang wanita warga Singapura yang menulis cerita-cerita motivasi Islamik dan terkenal seantero dunia melalui bukunya yang bertajuk ‘Life Is An Open Secret’ dan Fatimah Syarha; penulis Malaysia yang terkenal kerana cerita-cerita cinta Islamik.

2.1.4.4 PEJUANG HAK-HAK WANITA YANG DIIKTIRAF AGAMA

Tidak dapat kita nafikan bahawa terdapat golongan-golongan yang menafikan hak-hak yang telah dianugerahkan oleh Allah SWT terhadap wanita. Maka, wanita merupakan golongan yang paling layak dan sesuai untuk memperbetul persepsi masyarakat terhadap hak-hak mereka yang telah dinafikan. Wanita seharusnya tampil dan mara ke hadapan dalam membela nasib mereka. Ini merupakan sebuah dakwah dalam menyeru masyarakat ke arah kefahaman yang benar dan hakiki tentang hak-hak yang sepatutnya diperoleh oleh seorang insan yang bergelar wanita.
Mungkin ada yang menggelarkan diri mereka Islamic Feminisme namun hakikatnya mereka bukanlah memperjuangkan hak-hak wanita yang bersifat gender bias tetapi mereka sebenarnya memperjuangkan arahan dan syariat Allah SWT yang telah dianugerahkan kepada golongan wanita. Secara mudahnya, mereka memperjuangkan untuk membenarkan kalimah Allah SWT dan sabda baginda SAW yang mengikitiraf hak-hak, peranan-peranan dan tanggungjawab bagi seseorang wanita. Apabila ia melibatkan membenarkan kalimah Allah SWT dan utusanNya, maka ia adalah sebuah bentuk dakwah secara tidak langsung.


[1] Ab. Aziz Mohd. Zin (2005), Pengantar Dakwah Islamiah, Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya, h. 1
[2] Ibid, h. 1.
[3] ibid, h. 1-2.
[4] ibid, h. 2.
[5] Surah An-Nahl (16): 125
[6] ibid, h. 17-18
[7] Surah Ali Imran (3) : 104
[8] Muhammad al-Ghazali (1981),  Ma’allah, Beirut : Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, h. 17
[9] Al-Qurtubi, al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an, Beirut : Dar Ihya’, jil. 4,  h. 165
[10] Al-Shawkani, Fath al-Qadir, Beirut : Dar al-Fikr, jil 4, h. 165
[11] ibid, h. 29
[12] Surah Al-Baqarah (2) : 193
[13] Opcit., Nafisah Tahir et al., Zatil Azzyati Mustapha (ed). h. 6.

[14] Surah At-Taubah (9) : 71
[15] ibid., Nafisah Tahir et al., Zatil Azzyati Mustapha (ed). h. 7.
[16] Surah At-Taubah (9) : 67
[17] Surah Al-Anfal (8) : 73
[18] Surah Al-Ahzab (33) : 35
[19] Surah Al-Ahzab (33) : 32
[20] Taufik Yusuf Al-Wa’I  (2004), Profil Wanita Aktivis Dakwah, Tim L-Data (terj.) Jakarta: Griya 
    Ilmu, h. 216.
[21] Surah Al-An’am (6) : 162-163
[22] ibid, Taufik Yusuf Al-Wa’I (2004), h. 219
[23]  Jalan Da’wah Antara Keaslian dan Penyelewengan, Ustadh Mohd. Yusuf Ismail (terj.) Shah Alam : Dewan Pustaka Fajar, cet. 3, h. 31.
[24] Surah At-Taubah (9) : 42
[25] Surah Al-‘Ankabut (29) : 2
[26] Surah Luqman (31) : 17
[27] Surah Al-Ahqaf (46) : 35
[28] Surah Al-Muzammil (73) : 10
[29] opcit., Taufik Yusuf Al-Wa’I (2004), h. 223
[30] Al-Bukhari, Kitab Al-Haidh : Bab Tarki al-Haidh al-Saoum, Hadis no. 296
[31] opcit, Al-Syeikh Dr. Faisal Mawlawi (2011), h. 17
[32] Surah An-Nahl (16) : 97
[33]  ibid, Al-Syeikh Dr. Faisal Mawlawi (2011), h. 19
[34] ibid, Al-Syeikh Dr. Faisal Mawlawi (2011), h. 19
[35] Surah An-Nisa’ (4) : 34
[36] ibid, Al-Syeikh Dr. Faisal Mawlawi (2011), h. 20-21
[37] Surah Al-Ahzab (33) : 33
[38] ibid, Al-Syeikh Dr. Faisal Mawlawi (2011), h. 22-23
[39] ibid, Al-Syeikh Dr. Faisal Mawlawi (2011), h. 23
[40] opcit, Taufik Yusuf Al-Wa’I (2004), h. 89