Sunday, January 8, 2017

Tanggungjawab dan Peranan Wanita Dalam Gerakan Dakwah : Suatu Kajian Terhadap Pelajar Darul Quran (Bab 3 : Metodologi Kajian Kertas Kerja Diploma 2014)

BAB TIGA

METODOLOGI KAJIAN

1.0            PENDAHULUAN

Bab ini menghuraikan beberapa aspek yang berkaitan dengan kaedah kajian. Aspek-aspek tersebut adalah reka bentuk kajian, sampel kajian, kaedah pensampelan, instrumental kajian dan andaian kajian.

1.1            REKA BENTUK KAJIAN

Kajian yang dilakukan adalah berbentuk kajian deskriptif bagi mendapatkan maklumat dan maklum balas dari subjek kajian. Matlamat utama kajian adalah untuk meninjau sejauh mana kefahaman pelajar-pelajar Darul Quran mengenai Peranan Dan Tanggungjawab Wanita Dalam Gerakan Dakwah berdasarkan objektif-objektif yang telah ditetapkan.
Data-data kajian diperoleh melalui borang kaji selidik yang disediakan oleh penulis dan diedarkan kepada responden yang telah ditetapkan. Soalan-soalan adalah berbentuk tertutup di mana responden hanya perlu memberikan pemeringkatan berdasarkan Skala Likert setakat mana mereka bersetuju dengan pernyataan-pernyataan melalui soalan-soalan yang dikemukakan.

3.2       SAMPEL KAJIAN

Menurut Mohd Najib (1990), pensampelan merupakan strategi penyelidikan bila mana penyelidik boleh mendapatkan maklumat mengenai sesuatu populasi daripada sebahagian individu yang menganggotai populasi tersebut. Sebahagian individu yang diambil melalui pensampelan bagi mewakili sesuatu populasi yang dinamakan sampel. Maklumat yang didapati daripada sampel boleh digunakan untuk menganggarkan maklumat populasi yang dikaji.
Sampel dalam kajian ini adalah sebahagian pelajar Diploma Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat, Darul Quran, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang terdiri daripada lima syukbah, sebahagian pelajar Ijazah Universiti Sains Islam Malaysia-Darul Quran (USIM-DQ), dan sebahagian pelajar Pensijilan Tahfiz Darul Quran-Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (DQ-UIAM).

3.3       KAEDAH PENSAMPELAN

Di dalam kajian ini, penulis menggunakan pendekatan pensampelan secara kelompok. Pensampelan berkelompok ialah proses menggunakan sampel di mana unit pensampelan bukan lagi daripada populasi, tetapi ianya merupakan unsur-unsur daripada kelompok populasi tertentu (Mohd Najib : 1990).
Berdasarkan pensampelan berkelompok, penulis perlulah menggunakan semua kelompok populasi yang dipilih. Pensampelan satu kelompok dari senarai kelompok yang telah dikenal pasti dilakukan secara rawak. Pensampelan kelompok ini dilakukan kerana populasi kajian adalah agak besar. Disebabkan jumlah pelajar semester enam Diploma Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat, jumlah pelajar Ijazah USIM-DQ serta jumlah pelajar Pensijilan Tahfiz DQ-UIAM  mempunyai pelajar yang ramai dan tidak sama pula jumlahnya, bilangan sampel diambil berdasarkan beberapa peratus dari ketiga-tiga semester. Keseluruhan sampel berjumlah 30 orang.

3.4       INSTRUMEN KAJIAN

Kajian yang dijalankan ini menggunakan borang kaji selidik sebagai instrumen kajian. Dalam kajian ini, alat ukur yang digunakan ialah soal selidik. Bahagian A dijawab berdasarkan kesesuaian jawapan maklumat peribadi dan Bahagian B pula dijawab menggunakan Skala Likert yang mengandungi lima nilai iaitu :
i)      Sangat Setuju
ii)    Setuju
iii)  Tidak Pasti
iv)  Tidak Setuju
v)    Sangat Tidak Setuju
Bahagian B mempunyai 15 soalan. Ia berkisar tentang tahap kefahaman responden mengenai Peranan Dan Tanggungjawab Wanita Dalam Gerakan Dakwah.

3.5       ANDAIAN KAJIAN

Di dalam melaksanakan kajian ini, penulis membuat beberapa andaian agar hasil kajian dapat dilakukan dengan berkesan dan sempurna. Di antara andaian-andaian yang dijangka oleh penulis ialah :
i)                Semua soalan di dalam borang kaji selidik dijawab kesemuanya dengan jujur dan ikhlas oleh responden.
ii)              Responden memberi tindak balas kepada soal selidik secara sukarela dan kritis.
iii)            Jumlah soalan bagi soal selidik adalah mencukupi untuk pengukuran dan boleh mencapai objektif kajian.

3.6       PROSEDUR KAJIAN

Untuk membolehkan kajian ini berjalan dengan lancar, penulis akan mengedarkan borang kaji selidik dengan menemui sendiri setiap responden. Penulis akan mendapatkan kerjasama dari semua responden untuk menjawab dan memastikan kesemua borang kaji selidik dijawab dan dikembalikan.
Segala data yang diperoleh dari borang kaji selidik akan diteliti dan disusun serta dimasukkan ke dalam jadual pengelasan mengikut kategori soalan. Data-data akan dianalisis untuk mendapatkan maklumat mengenai kekerapan (frekuensi) dan purata(min) dalam bentuk jadual.

3.7       KESIMPULAN


Kesimpulan metodologi kajian ini menggunakan borang kaji selidik dan pemarkahan berdasarkan Skala Likert. Kajian ini telah mendapat persetujuan daripada pihak Darul Quran, JAKIM. Pensampelan bagi kajian ini berdasarkan sampel rawak kelompok iaitu pelajar semester enam Diploma Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat, pelajar Ijazah USIM-DQ, dan pelajar Pensijilan Tahfiz DQ-UIAM, Darul Quran JAKIM, Kuala Kubu Bharu, Selangor Darul Ehsan.