Sunday, January 8, 2017

Tanggungjawab dan Peranan Wanita Dalam Gerakan Dakwah : Suatu Kajian Terhadap Pelajar Darul Quran (Bab 5 : Penutup Kertas Kerja Diploma 2014)

BAB LIMA
PENUTUP

1.0            PENDAHULUAN

Bab ini merupakan bab yang terakhir bagi kajian ilmiah ini. Penulis akan membuat kesimpulan terhadap keseluruhan penulisan dan memberikan beberapa saranan dan juga cadangan yang berkaitan dengan peranan dan tanggungjawab wanita dalam gerakan dakwah.

5.1            KESIMPULAN

Sepanjang kajian ini, penulis mendapati majoriti daripada responden yang terlibat sudah pun memahami bahawa wanita berperanan dan turut mempunyai tanggungjawab dalam melaksanakan tuntutan dakwah termasuklah dakwah yang melibatkan persatuan atau sesuatu gerakan. Cuma, masih ada sebahagian antara mereka yang tidak memahami pelaksanaan atau batasan bidang kuasa seseorang wanita dalam gerakan dakwah. Ini terbukti melalui hasil dan analisis kajian yang dijalankan. Ini jelas menunjukkan bahawa mereka sudah pun diberi pendedahan awal peranan dan tanggungjawab wanita dalam gerakan dakwah seperti wanita dituntut melaksanakan dakwah secara berorganisasi dan hal itu merupakan satu kewajipan yang tidak boleh ditinggalkan. Penulis mendapati responden diberi penekanan dari sudut kewajipan berdakwah melalui program-program persatuan, mahupun silibus yang diajarkan kepada mereka. Sebagai contoh, program usrah yang dijalankan oleh pihak persatuan pelajar.
Walaupun majoriti daripada mereka memahami peranan dan tanggungjawab wanita dalam gerakan dakwah, namun itu tidak bermakna mereka faham secara mendalam tentang kewajipan tersebut. Penulis mendapati ramai antara mereka hanya mengetahui kewajipan seseorang wanita berdakwah tanpa mereka memahami secara jelas dalil-dalil ataupun nas-nas dari  Al-Quran mahupun As-Sunnah. Masih ramai kabur dan kurang jelas hadis Sahih Bukhari yang mengatakan bahawa wanita itu kurang akal dan agama jika dibandingkan dengan lelaki sehingga mereka menafikan potensi kepimpinan ataupun saranan idea oleh seorang wanita. Mereka hanya menafsirkan hadis tersebut secara zahir tanpa mengetahui tentang sebab hadis itu diungkapkan oleh Rasulullah SAW. Mereka tidak merujuk huraian ataupun perbahasan para ulama’ dalam membincangkan hadis tersebut.
Melihat kepada situasi ini, pelbagai langkah perlulah diambil bagi memastikan setiap individu muslim itu bukan sahaja dapat memahami peranan dan tanggungjawab wanita dalam gerakan dakwah, namun dapat turut menyokong dan membantu wanita dalam mengembangkan syiar Islam. Hal ini penting bagi memastikan Islam kembali gah sebagai sebuah cara hidup yang sempurna, lengkap dan menyeluruh.

5.2            CADANGAN DAN SARANAN

Berdasarkan kajian yang telah dilaksanakan, penulis dan responden ingin mengemukakan beberapa cadangan dan saranan yang boleh dilakukan oleh pihak-pihak yang berkaitan mahupun orang perseorangan bagi meningkatkan kesedaran umum tentang peranan dan tanggungjawab seseorang wanita dalam gerakan dakwah terutamanya para pendakwah sendiri.
1.     Penulis menyarankan agar setiap individu muslim hendaklah sentiasa mengkaji sesuatu dalil sama ada dari Al-Quran mahupun As-Sunnah sebelum menjadikannya hujah agar kita benar-benar faham dan jelas sesuatu nas itu diwahyukan oleh Allah SWT. Hal ini juga bagi memastikan kita faham tuntutan dalil tersebut secara tepat dan yakin untuk berpegang dengannya.
2.     Selain itu, bicara-bicara ilmiah berkenaan peranan dan tanggungjawab wanita harus giat dijalankan kepada masyarakat agar masyarakat mampu memahami peranan wanita dan menjadi penyokong kepada gerak kerja yang mulia ini.
3.     Kempen kesedaran harus dijalankan besar-besaran agar wanita tidak lagi takut untuk sama-sama turun ke medan dakwah dan menghadapi masyarakat dalam mendukung perjuangan dakwah ini.
4.     Ibu bapa merupakan pencorak utama perkembangan anak-anak dalam memastikan anak-anak perempuan mereka bersemangat dan memahami tuntutan dakwah ini. Persekitaran rumah yang mempunyai unsur tarbiah dapat memastikan anak-anak memahami bahawa dakwah itu merupakan suatu kewajipan tanpa mengira jantina sama ada lelaki mahupun perempuan.
5.     Para pensyarah juga memainkan peranan yang penting dalam menyuntik semangat dakwah dalam kalangan siswi dan memperbetul semula persepsi yang salah terhadap isu ini.
6.     Media massa sangat berpengaruh dalam mendoktrin atau membentuk pemikiran masyarakat kerana hampir kesemua golongan masyarakat menggunakan saluran ini dalam kehidupan seharian. Pelbagai rancangan ataupun siaran yang kreatif harus ditayangkan bagi menarik minat wanita untuk turun ke lapangan dakwah.
7.     Semua pihak harus menggembleng tenaga dalam memastikan setiap individu memahami peranan ini secara benar dan tepat di samping dakwah dapat terus berkembang melalui penglibatan wanita.

5.3            PENUTUP

Wanita juga merupakan seorang insan yang mempunyai potensi yang sama sebagaimana lelaki dalam meraih ganjaran pahala daripada Allah SWT melalui penglibatan mereka dalam dakwah. Oleh itu, janganlah sesekali dinafikan peranan mereka dalam dakwah agar Islam itu tidak dipandang serong sebagai suatu agama yang menindas wanita.
Sebagai pengakhiran, penulis berharap kajian ilmiah ini mampu menjadi sebuah sumber rujukan yang bermanfaat dalam membahaskan peranan dan tanggungjawab wanita dalam dakwah.

BIBLIOGRAFI
1.     Tafsir Pimpinan al-Rahman kepada Pengertian al-Quran (1987), ed. 8. Kuala Lumpur: Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri
2.     Al-Syeikh Dr. Faisal Mawlawi (2011), Peranan Muslimat Di Medan Amal Islami, Nafisah Hj. Md Tahir (terj.) Kuala Lumpur: Jundi Resources
3.     Nafisah Tahir et al., Zatil Azzyati Mustapha (ed). Muslimah Celik Politik, Gombak : Dewan Muslimat PAS Kawasan Gombak
4.     Ab. Aziz Mohd. Zin (2005), Pengantar Dakwah Islamiah, Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya
5.     Muhammad al-Ghazali (1981),  Ma’allah, Beirut : Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi
6.     Al-Qurtubi, al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an, Beirut : Dar Ihya’, jil. 4
7.     Al-Shawkani, Fath al-Qadir, Beirut : Dar al-Fikr, jil 4, h. 165
8.     Taufik Yusuf Al-Wa’I  (2004), Profil Wanita Aktivis Dakwah, Tim L-Data (terj.) Jakarta: Griya Ilmu
9.     Al-Bukhari, Kitab Al-Haidh : Bab Tarki al-Haidh al-Saoum, Hadis no. 296
10.  Jalan Da’wah Antara Keaslian dan Penyelewengan, Ustadh Mohd. Yusuf Ismail (terj.) Shah Alam : Dewan Pustaka Fajar, cet. 3