Wednesday, January 4, 2017

Tanggungjawab dan Peranan Wanita Dalam Gerakan Dakwah : Suatu Kajian Terhadap Pelajar Darul Quran (Proposal Kertas Kerja Diploma 2014)

BAB SATU
PENDAHULUAN
1.0            PENDAHULUAN
Dakwah merupakan suatu kewajipan bagi setiap insan yang bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah S.W.T. dan Nabi Muhammad S.A.W.  itu pesuruh Allah S.W.T. sama ada dirinya seorang lelaki mahupun seorang wanita. Dakwah merupakan kewajipan yang harus dilaksanakan sepanjang masa tanpa mengira zaman dan keadaan kerana ia merupakan sebaik-baik perkataan dan pembuktian iman seseorang muslim berdasarkan amalan dakwah yang dilakukannya. Allah S.W.T. berfirman :
 وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلا مِمَّنْ دَعَا إِلَى اللَّهِ وَعَمِلَ صَالِحًا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ [1]
Maksudnya:
Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang soleh dan berkata: Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang menyerah diri.[2]
Wanita atau muslimat juga dituntut untuk melakukan amal soleh sebagai bukti keimanan mereka sebagaimana yang dituntut atas diri seorang lelaki. Justeru itulah, Allah S.W.T. sentiasa menggandingkan kalimah amal soleh dengan kalimah keimanan. [ Lelaki dan wanita sama-sama dituntut dalam melakukan amalan saleh kerana ia adalah natijah yang semulajadi bagi keimanan. Justeru itulah setiap kali kamu melihat kalimah keimanan di dalam al-Quran pasti bersamanya kalimah amal saleh.][3]
Allah S.W.T. berfirman: 
 [4] مَنْ عَمِلَ صَالِحًا مِنْ ذَكَرٍ أَوْ أُنْثَى وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَلَنُحْيِيَنَّهُ حَيَاةً طَيِّبَةً وَلَنَجْزِيَنَّهُمْ أَجْرَهُمْ بِأَحْسَنِ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ
Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki ataupun perempuan sedang ia beriman, maka sungguh Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka, dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan
Dalam kehidupan masa kini yang menyaksikan masyarakat yang semakin rosak dan jauh menyimpang dari ajaran Islam membuatkan dakwah itu menjadi suatu amal soleh yang wajib untuk dilaksanakan. Semua kewajipan ini merupakan kewajipan syarak yang dituntut terhadap lelaki dan wanita tanpa ada pengecualian kerana sasaran dakwah itu terdiri daripada semua golongan dan peringkat umur tanpa mengira gender sama ada mereka ialah lelaki mahupun perempuan.

Allah S.W.T. berfirman: 
 [5]  وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ ۚيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَيُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَيُطِيعُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ ۚأُولَٰئِكَ سَيَرْحَمُهُمُ اللَّهُ ۗإِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
 Dan orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat baik, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan membayar zakat, serta taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana.
Di dalam ayat ini Allah SWT menjelaskan bahawa kerja amar makruf nahi mungkar serta mentaati Allah dan rasulNya adalah perkara yang dituntut bagi lelaki dan wanita sebagaimana juga solat dan zakat. Wanita sama sahaja dengan lelaki dalam memikul tanggungjawab yang disyara’kan kecuali dalam perkara-perkara yang dikhususkan oleh Allah SWT untuk lelaki dan wanita. [6]
               Bebanan syariat ke atas lelaki dan perempuan adalah sama, kecuali pada perkara-perkara yang dikhususkan bagi kaum perempuan seperti haid, istihadah, nifas, bersalin, penyusuan dan warisan. Kedua-duanya adalah hamba Allah yang dituntut bagi mengabdikan diri kepada Allah, melaksanakan amar ma’ruf nahi munkar dan memakmurkan dunia...[7]
            Ini jelas membuktikan bahawa kerja-kerja dakwah merupakan suatu kewajipan yang harus dilaksanakan oleh setiap individu sama ada lelaki mahupun wanita tanpa ada pengecualian sepertimana dalam ibadah-ibadah khusus yang lain seperti solat dan zakat melainkan dalam perkara-perkara yang telah ditetapkan pengkhususannya oleh Allah S.W.T.

1.1            LATAR BELAKANG KAJIAN

Wanita merupakan suatu makhluk yang istimewa sehingga sentiasa menjadi subjek utama untuk dibahaskan sama ada oleh lelaki mahupun wanita sendiri. Akal yang waras dan sihat pastinya tidak menafikan bahawa terdapat perspektif ataupun fahaman-fahaman yang salah terhadap hak-hak, fungsi, peranan dan tanggungjawab wanita yang sering dinafikan oleh masyarakat sama ada penafian itu datangnya daripada golongan lelaki mahupun golongan wanita itu sendiri.
Memang benar, banyak daripada perspektif ataupun fahaman-fahaman ini lahir dan tercetus daripada nas-nas yang sahih, tetapi ia difahami dan dihurai tanpa cara yang betul dan tepat sehingga perspektif ataupun fahaman-fahaman ini hanya berlandaskan kehendak hawa nafsu serta tradisi terdahulu yang telah menjadi adat dan kebiasaan masyarakat setempat tanpa difahami dari sudut ilmiah sebab-sebab sesuatu wahyu itu diturunkan atau diucapkan dari lisan baginda S.A.W.
Perspektif yang salah ini bukan sahaja menyerang fikiran masyarakat awam malahan golongan agamawan juga. Minda aktivis dan pendakwah Islam juga telah berjaya dicemari dan diracuni dengan fahaman-fahaman yang salah ini sehingga menidakkan kewajipan seorang muslimah untuk keluar berdakwah. Fahaman-fahaman yang salah ini akan dihuraikan dalam satu bab yang khusus dalam kajian ini agar semua golongan sedar dan faham akan kepentingan dakwah seorang muslimah.
Kajian ini juga akan menghuraikan cara-cara dakwah yang boleh dilakukan oleh para wanita agar masyarakat tidak hanya memandang cara berdakwah seorang muslimah itu hanyalah dengan berceramah di medan siasah. Kajian ini akan menjelaskan cara-cara terperinci yang boleh dimainkan peranan mereka selaku seorang wanita dalam berdakwah pada setiap peringkat umur melalui Dewan Muslimat PAS Selangor.

1.2            OBJEKTIF KAJIAN

Kajian ini dilakukan bertujuan :
1)         Mengenal pasti peranan dan tanggungjawab wanita dalam gerakan dakwah
2)         Menganalisis kefahaman pelajar-pelajar Darul Quran terhadap peranan dan
tanggungjawab wanita dalam sesebuah gerakan dakwah.
3)         Mengkaji masalah yang sering berlaku terhadap wanita dalam gerakan
dakwah

1.3            KEPENTINGAN KAJIAN

Kajian ini penting untuk dijalankan bagi mengenal pasti peranan dan tanggungjawab wanita dalam gerakan dakwah. Selain itu, kajian ini mampu menganalisis kefahaman pelajar-pelajar Darul Quran terhadap peranan dan tanggungjawab wanita dalam sesebuah gerakan dakwah. Di samping itu, kajian ini dijalankan untuk mendalami masalah yang sering berlaku terhadap wanita dalam gerakan dakwah.
Penulis juga berpendapat kajian ini dapat memberikan kefahaman yang sebenar dan jelas kepada wanita umumnya dan kepada para pelajar Darul Quran khususnya mengenai formula untuk  menjalankan kewajipan dakwah sebagai seorang wanita. Kajian ini juga mampu membuka minda sebahagian golongan ilmuan, para pelajar, wanita-wanita di luar sana tentang gerakan dakwah yang dituntut oleh Islam agar tidak terpesong dari landasan syariat Islam yang sebenar.

1.4            SKOP KAJIAN

Kajian ini dijalankan terhadap sayap kiri Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Selangor iaitu Dewan Muslimat dan badan-badan bukan kerajaan gerakan wanita yang ditubuhkan bawah Parti Islam Se-Malaysia (PAS). Selain itu, analisis kefahaman telah dibuat terhadap 30 orang pelajar Darul Quran. Target penulisan ini adalah untuk mendedahkan gerakan dakwah secara jelas dan penglibatan wanita  secara langsung mahupun tidak langsung bersandarkan kepada kefahaman para siswa dan siswi Darul Quran, JAKIM, Kuala Kubu Bharu.

1.5            METODOLOGI KAJIAN

Metodologi merupakan satu kaedah untuk menyempurnakan kajian yang dibuat. Kajian ilmiah ini bertajuk “Peranan dan Tanggungjawab Wanita dalam Gerakan Dakwah : Suatu Kajian Terhadap Kefahaman Pelajar Darul Quran” merupakan suatu kajian berbentuk library research ( penyelidikan perpustakaan ) dan field ( lapangan ). Penulis menggunakan beberapa metod untuk menyiapkan kajian ini. Metod kajian adalah seperti berikut :

1.5.1       Metod Penentuan Subjek

Metod ini memfokuskan tentang tahap kefahaman pelajar-pelajar Darul Quran terhadap peranan dan tanggungjawab wanita dalam sesebuah gerakan dakwah.

1.5.2    Metod Pengumpulan Data

Metod ini merupakan suatu proses pada peringkat awal. Sigifikan metod ini ialah apabila sumber dan asal-usul sesuatu data yang diperoleh akan memberi impak dari segi validiti dan objektiviti tesis sebagai sebuah hasilan ilmiah. Di sini, penulis mengetengahkan sumber bersifat premier dan sekunder. Kaedah ini digunakan untuk mendapatkan fakta – fakta dan data – data penting untuk melengkapkan kajian. Metod ini merujuk kepada bahan bertulis seperti buku, majalah, artikel dan sebagainya. Antaranya ialah :

a)          Metod perpustakaan

Rujukan bahan – bahan ilmiah yang telah disediakan di perpustakaan Darul Quran JAKIM dan perpustakaan Universiti Malaya seperti kitab, jurnal, majalah dan lain – lain. Antaranya ialah : 
v  Ikhwanul Muslimin : Konsep Gerakan Terpadu
v  Api Kebangkitan Islam & Cabaran Abad Ke-21
v  Fathul Bari : Penjelasan Kitab Shahih Al-Bukhari
v  Ketokohan Wanita Islam : Teladan dan Cabaran
v  Profil Wanita Aktivis Dakwah
v  Gerakan Dakwah Dan Orde Islam Di Malaysia
v  Pengantar Dakwah Islamiah
v  Metodologi Dakwah

b)          Penyelidikan lapangan

Menyediakan borang kaji selidik kepada pelajar Darul Quran tentang kefahaman peranan dan tanggungjawab wanita dalam sesebuah gerakan dakwah. Antara butiran yang terdapat di borang kaji selidik ialah :

a.           Maklumat responden
b.         Soalan kaji selidik
c.         Cadangan responden

1.5.3   Metod Penganalisan Data

Segala maklumat yang dikumpulkan akan dianalisis oleh penyelidik untuk menyusun dan mengesahkan ketetapannya. Segala data akan disusun semula dan dikaji dengan cara bersistem. Penyelidikan ini telah menggunakan tiga metod berkaitan iaitu :

a.           Metod Induktif

Metod induktif ialah satu cara membuat kesimpulan daripada bukti – bukti yang bersifat khusus untuk mencari kesimpulan yang bersifat umum. Metod ini digunakan untuk menghurai pengenalan secara umum.

b.           Metod deduktif

Metod ini digunakan sebagai satu cara untuk membuat kesimpulan daripada bukti – bukti yang bersifat umum untuk mencari kesimpulan yang bersifat khusus. Metod ini digunakan untuk menghuraikan data – data dengan lebih terperinci dan mendalam.

c.           Metod komperatif

Metod ini pula adalah satu cara membuat kesimpulan dengan cara melakukan perbandingan terhadap segala fakta yang diperolehi.

1.6            SOROTAN LITERASI

Nafisah Haji Md Tahir telah menterjemah artikel yang ditulis oleh Al-Syeikh Dr. Faisal Mawlawi dalam sebuah buku bertajuk ‘Peranan Muslimat Di Medan Amal Islami’. Buku ini menyentuh isu-isu yang berkaitan dengan perspektif yang silap terhadap peranan seorang wanita muslim dalam sesebuah gerakan dakwah yang berlaku dalam kalangan aktivis dakwah di Eropah memandangkan Al-Syeikh Dr. Faisal Mawlawi merupakan penasihat agama pertubuhan organisasi-organisasi Islam Eropah dari tahun 1986 sehingga kewafatannya. Buku ini hanya menceritakan peranan dan tanggungjawab wanita muslim dalam gerakan dakwah di Eropah secara umum yang berlaku sekitar tahun 80-an. Penulis pula hanya akan membicarakan peranan wanita dalam gerakan Islam di Malaysia terutamanya gerakan Parti Islam Se-Malaysia (PAS).
Selain itu, Nafisah Tahir dan Nurhidayah Jaafar telah menulis sebuah buku bertajuk ‘Muslimah Celik Politik’ yang menerangkan kewajipan seorang wanita untuk turut terlibat dalam gerakan dakwah terutamanya Parti Islam Se-Malaysia (PAS). Buku ini menerangkan cara-cara dan bukti-bukti dari Al-Quran dan As-Sunnah mengenai formula untuk seseorang wanita bergerak kerja dalam sesebuah gerakan dakwah. Buku ini hanya membicarakan peranan dan tanggungjawab wanita dari satu sudut iaitu peranan mereka dalam gerakan parti politik. Penulis pula akan menyentuh secara khusus peranan wanita dalam sesebuah gerakan dakwah dan tidak tertumpu dari sudut politik semata-mata.
Di samping itu, Mustapha As-Sibaie telah menulis sebuah buku bertajuk ‘Wanita Di Antara Syariat Dan Undang-Undang’ yang turut menyentuh dan mengupas kewajipan seorang wanita untuk melibatkan diri dalam sesebuah gerakan dakwah. Buku ini juga menyentuh berkaitan hukum-hukum yang berkaitan dengan wanita dalam melaksanakan kewajipan dakwah. Buku ini mengupas secara umum segala perkara berkaitan wanita dan kontroversi-kotroversi ataupun pemahaman yang salah terhadap wanita. Manakala, penulis pula hanya akan membincangkan peranan dan tanggungjawab wanita dalam sesebuah gerakan dakwah di samping isu-isu yang melanda wanita dalam sesebuah gerakan dakwah.
                        Penulis juga berhasil menemukan sebuah himpunan kertas kerja yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi yang diterbitkan pada tahun 2002 berjudul “Ketokohan Wanita Islam Teladan dan Cabaran”. Himpunan kertas kerja ini telah disunting oleh Siti Saudah Haji Hassan. Himpunan kertas kerja ini dibahagikan kepada 4 bahagian dalam menghuraikan ketokohan wanita iaitu Tokoh Wanita Islam Silam, Tokoh Wanita Zaman Moden, Tokoh Wanita dalam Kesusasteraan, Tokoh Wanita dalam Gerakan, Tokoh Wanita dalam Pendidikan dan Tokoh Wanita Sepanjang Zaman. Penulis pula hanya akan membicarakan peranan dan tanggungjawab wanita dalam sesebuah gerakan dakwah.
                        Terdapat juga sebuah buku berjudul “Profil Wanita Aktivis Dakwah” yang telah diterjemah oleh Tim L-Data daripada judul asal bertajuk “An-Nisaa’ Ad-Daiyat” yang ditulis oleh Taufik Yusuf Al-Wa’i. Buku ini menyentuh secara khusus tentang ciri-ciri seorang pendakwah wanita dan membicarakan secara mendalam tentang persiapan seorang wanita dalam bergerak kerja di medan dakwah. Penulis pula akan menyentuh secara khusus peranan wanita dalam sesebuah gerakan dakwah di Malaysia terutamanya peranan wanita dalam Dewan Muslimat Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Selangor.
                        Nor Hanani Mohd Noor turut menghasilkan sebuah tulisan ilmiah berjudul “Peranan Wanita dalam Dakwah Mengikut Perspektif Al-Quran : Kajian Surah Ali-Imran”. Tesis beliau memberi kefahaman peranan yang perlu dimainkan oleh pendakwah wanita menurut surah Ali-Imran. Selain itu, tesis beliau menjelaskan pendekatan dakwah yang dianjurkan menurut surah Ali-Imran. Surah Ali-Imran yang dimaksudkan hanyalah dalam sekelompok kecil ayat surah tersebut iaitu ayat 104, ayat 110, ayat 114, dan ayat 159. Manakala penulis pula akan membicarakan secara menyeluruh peranan wanita berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah.




[1] Surah Al-Fussilat (41) : 33.
[2] Semua terjemahan ayat-ayat al-Quran dalam tulisan ini berdasarkan Tafsir Pimpinan al-Rahman kepada Pengertian al-Quran (1987), ed. 8. Kuala Lumpur: Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri
[3] Al-Syeikh Dr. Faisal Mawlawi (2011), Peranan Muslimat Di Medan Amal Islami, Nafisah Hj. Md Tahir (terj.) Kuala Lumpur: Jundi Resources, h. 27.
[4] Surah An-Nahl (16) : 97.
[5] Surah At-Taubah (9) : 71.
[6]. ibid., h.28
[7] Nafisah Tahir et al., Zatil Azzyati Mustapha (ed). Muslimah Celik Politik, Gombak : Dewan Muslimat PAS Kawasan Gombak, h. 7.