Sunday, December 18, 2016

Agama hanya beban!?

بسم الله الرحمان الرحيم

Saat terbitnya perkataan 'agama' atau 'Islam' dalam fikiran kita, masih ramai di antara kita akan berasa seperti kaku dan keras seolah-olah agama ini mengongkong dan mengawal kita secara paksaan.

Tidak timbul niat di hati kita untuk melawan atau memberontak, apatah lagi mempersoalkan agama dan ketuhanan tetapi kadangkala timbul sekelumit perasaan menganggap bahawa agama sebagai satu bebanan, terasa beban berat datang menghimpit dan menyesakkan dada.

Pasti ramai di antara kita akan menafikan tetapi hakikatnya kita tidak dapat menipu diri kita sendiri. Buktinya, sebagai contoh, lihat sahaja apabila soal jihad dilontarkan kepada kita, akan terasa seakan satu benda berat tergalas di pundak; terasa terlalu banyak untuk otak kita mencerna dan memproses maklumat.

Atau lihat sahaja diri kita saat lambakan tugas seharian perlu diselesaikan sehingga tiada masa buat diri kita sendiri, bagaimana attitud kita terhadap solat saat azan usai dikumandangkan tetapi kita sedang berada di kemuncak pelaksanaan tugas?

Tidak perlu kita menjawab persoalan-persoalan ini, lihat sahaja perasaan yang terbit jauh dari lubuk hati kita. Apakah terasa agama ini membebankan atau seronok melaksanakannya?

Lantaran itu, satu persoalan lain harus dilontarkan kepada diri kita, di mana silap kita?
Mengapa terasa berat melaksanakan suruhan agama walau hakikatnya kita tidak berniat berasa begitu?

Persoalan-persoalan inilah yang sering menelusuri serebrum otak saya saat saya duduk bersendirian. Saya memikirkannya bertahun-tahun lamanya sejak menuntut di sekolah menengah lagi. Sepanjang beberapa tahun ini, hanya sedikit sebab yang saya temukan berdasarkan pendapat saya sendiri:

1. Minda kita hanya mengaitkan agama dengan soal hukum-hakam; antara halal dan haram terutamanya para pelajar Syariah, Fiqh, dan Usul Fiqh.

Hakikatnya, Islam ini bukan semata-mata tentang hukum tetapi turut merangkumi soal etika(akhlak) dan kepercayaan (aqidah). Inilah yang menyempurnakan Islam itu sendiri dan menjadikannya sebagai satu agama yang lengkap dan indah. Jika kita memikirkan soal hukum semata-mata tanpa dikaitkan dengan dua lagi elemen penting Islam itu sendiri iaitu akhlak dan aqidah, nescaya tempanglah sisi kemanusiaan yang dikurniakan Allah SWT kepada kita.

Saya berikan beberapa contoh perkara-perkara yang halal di sisi Islam, tetapi hakikatnya nampak buruk dan jelik dilakukan penganutnya tanpa kita sedar Allah SWT mendatangkan panduan bersama-sama hukum yang dilontarkan.

Contoh 1:
Seorang anak mengahwini bekas emak tirinya setelah ayah kandungnya sendiri menceraikan emak tirinya sebelum berlakunya percampuran suami-isteri[1] antara ayah dan emak tiri.

Ya, perkara seperti ini halal namun tergamakkah seorang anak mengahwini bekas isteri ayahnya dalam keadaan ayahnya masih hidup?
‘Common sense’ inilah yang saya panggil sebagai akhlak.

Contoh 2:
Isteri : Jika saya tidak menyusukan anak kita, abang pasti akan membeli susu tepung buat anak kita bukan?

Suami : Eh, sayang ni. Mestilah, kenapa sayang tiba-tiba tanya abang macam tu?

Isteri : Tak delah. Kalau susu tepung abang sanggup bayar dengan duit, kenapa tidak abang memberi upah sahaja susu yang diberikan oleh saya kepada anak kita? Susu ibu kan lebih baik untuk antibodi bayi. Kalau abang tak sanggup bayar, saya takkan menyusukan lagi anak kita!

Suami : Aik?


Dialog di atas hanyalah rekaan yang dibincangkan semasa kelas Fiqh Zakat kami.Semasa kelas Fiqh Zakat bersama-sama Dr. Sabri Zakaria, dihuraikan tentang nafqah dan timbullah persoalan nafqah anak itu kewajipan mutlak bagi siapa? Adakah suami seorang? Atau bersama-sama isteri? Maka diterangkan bahawa kewajipan si suami sehinggakan jika si isteri meminta upah dari susu yang diberikan, maka perkara itu dibenarkan tetapi tergamakkah seorang isteri menyusahkan suaminya sendiri?
Ini juga dinamakan sebagai akhlak. Takkanlah untuk anak sendiri masih mahu berkira-kira bukan?

Contoh 3:
Suami memaksa isteri melakukan pergaulan dalam keadaan tidak rela atau ada sesetengah pihak menganggapnya sebagai merogol isteri.

Wujudkah istilah merogol isteri? Perkara inilah yang sering diperjuangkan para pendukung fahaman feminisme dan wanita-wanita Islam lainnya.

Halal ke? Ya, tetapi suami tersebut tidak sempurna keislamannya disebabkan kurangnya akhlak dan tadabbur pada ayat Al-Quran yang mengajar supaya mencampuri isteri itu dengan cara yang baik, bukannya keras melalui paksaan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:
وَعَاشِرُوْهُنَّ بِالْمَعْرُوْفِ
“Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik." (Surah al-Nisa' : 19)[2]

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang paling baik antara kamu semua adalah orang yang paling baik terhadap isterinya dan aku adalah orang yang terbaik antara kamu semua (dalam membuat kebaikan) terhadap isteriku." - hadis riwayat al-Tirmizi.

Rasulullah SAW bersabda lagi yang bermaksud: “Orang yang paling sempurna imannya adalah yang terbaik akhlaknya antara mereka dan yang paling baik adalah yang paling baik akhlaknya terhadap isteri-isterinya." - hadis riwayat al-Tirmizi.

Cukuplah contoh yang diberikan setakat ini. Masih terlalu banyak hakikatnya halal dari sudut hukum tapi bercanggah dengan akhlak yang diajarkan Nabi Muhammad SAW sedangkan baginda utusan Allah SWT; baginda lebih memahami urusan agama lebih dari kita sendiri.

Penyelesaian untuk isu ini ialah, janganlah kita menganggap bahawa agama ini hanya soal hukum, hayatilah juga keindahannya melalui akhlak baginda SAW, nescaya hilanglah rasa berat saat ingin melaksanakan segala suruhan dan larangan Allah SWT.

2. Punca kita merasakan bahawa agama itu berat kerana kita tiada ‘passion’ dalam melakukannya. Banyak riwayat menceritakan bahawa para sahabat R.Anhum menemukan kerehatan dalam ibadah khusus yang dilakukan seperti solat bukan sebgai beban yang membazirkan masa dan tenaga.

Jika kita boleh mengangkat filem ‘3 Idiots’ sebagai satu filem yang baik lantaran Phunsukh Wangdu[3] mengajar kita mencari ‘passion’ dalam menuntut ilmu, mengapa tidak kita menemukannya dalam kehidupan beragama?

3. Kita hanya mengambil Islam dari sudut yang menguntungkan kita.

Hari ini kita berbangga lahirnya gelombang dalam masyarakat kita yang mula menerima Islam secara besar-besaran sehinggakan saya dapati hampir semua perkara yang ada nama Islamik, sangat mendapat tempat. Wujudnya Ustaz PC, Kedai Ustaz, Ustaz Love dan segala jenis produk yang dijenamakan dengan jenama Islam termasuklah produk-produk bank Konvensional yang mula menawarkan akaun yang Islamik.

Kita berasa bahawa pihak bank yang kadangkala terdiri dari orang kafir mahupun orang Islam itu sendiri menerima hukum Islam tetapi hakikatnya tidaklah mereka melakukannya melainkan perkara itu menguntungkan mereka. Macam mana tu?

Dalam sistem muamalat Islam, HARAM bagi pihak bank memberikan imbal balik kepada pendeposit. Jika pendeposit hanya menyimpan RM55 dalam akaun simpanan, maka hanya sebanyak itulah yang boleh dikeluarkan tanpa bertambah satu sen pun. Pelik mengapa diharamkan?
Tidak sebenarnya kerana ia membawa riba’. Riba’[4] perlu difahami dengan maksud sebenarnya bukan yang hanya difahami dalam masyarakat Melayu kita. Boleh rujuk di nota kaki.

Apa yang menguntungkan pihak bank melalui akaun Islamik?

Mudahnya begini. Bank membuat keuntungan melalui pendapatan mereka termasuklah kita yang mendepositkan simpanan di dalam bank mereka melalui saham semasa.

Jika akaun konvensional, para pendeposit akan diberi sedikit imbuhan atau insentif ke dalam akaun simpanan mereka setiap tahun mungkin dalam 2% ke 5% berbeza-beza mengikut bank berbeza dengan akaun Islamik yang tidak dibayar kerana tidak boleh, diharamkan.[5]

Begitu juga kita sebagai manusia, mengambil agama ini dari sudut yang menguntungkan kita sehingga kita terasa segala suruhan Allah SWT dalam perkara yang mungkin memenatkan kita sebgai beban bukan sebagai satu suruhan cinta Allah SWT demi kebaikan diri kita.

والله أعلم




[1] (persetubuhan - saya lebih suka menggunakan istilah percampuran/pergaulan suami-isteri daripada perkataan melakukan seks atau persetubuhan atau jima'. Hal ini saya pelajari dari Dr. Muntaha yang sering mengungkapkan lafaz 'معاشرة الزوجية' yang bermaksud percampuran suami-isteri dalam kelas-kelas beliau. Beliau merupakan pensyarah saya bagi dua subjek setakat ini iaitu Adillat al-Ahkam dan Mabahith Turuq Al-Istinbat) 

[2] Menurut ath-Thabari, yang dimaksudkan bi al-ma‘rûf adalah dengan segala hal yang diperintahkan syariah dalam mempergauli mereka, yakni dengan menunaikan hak-hak mereka.  - Beberapa mufassir menyatakan bahwa ma‘rûf adalah bersikap adil dalam giliran dan nafkah; memperbagus ucapan dan perbuatan. - Al-Jaziri berpendapat ma‘rûf sebagai tindakan yang adil dan ihsân. -  Asy-Syaukani menyatakan, semuanya berbeza-beza, bergantung pada kemampuan suaminya; dari segi kekayaan, kemiskinan, ketinggian, dan kerendahannya.

Walaupun ayat ini menerangkan dari sudut lain, harus difahami juga bahawa suruhan utama Allah SWT dalam ayat ini ialah melayan isteri dengan baik
[3] Watak yang dilakonkan oleh Amir Khan dalam filem tersebut da nada beberapa video yang viral bahawa watak itu hakikatnya memang wujud di dunia nyata dan dia memiliki sekolahnya sendiri
[4] Riba’ bukan sahaja pihak yang berkelebihan (sebagai contoh : pemberi hutang) tetapi tetap juga menjadi riba’ jika pihak yang kurang berkemampuan (sebagai contoh : pemiutang) mendapat wang yang berganda-ganda.
[5] Para fuqaha’ masih membincangkan isu ini secara terperinci, masih tiada pendapat yang jelas mengenai hukum pihak bank memberi imbal balik kepada pendeposit kerana asal pengharaman riba’ disebabkan ia memudaratkan dan menzalimi tetapi hakikatnya pihak bank membuat keuntungan bahkan jauh berlipat kali ganda dari bank konvensional. Ada ulama’ berpendapat bahawa isu ini perlu dilihat semula kerana mungkin jauh berbeza dengan simpanan yang wujud di zaman baginda SAW dan para sahabat R.Anhum ajma’in.