Tuesday, December 6, 2016

Permulaan

بسم الله الرحمان الرحيم

ٍSuatu masa kita akan sedar, manusia tidak akan pernah menghargai sesuatu walau telah dikorbankan segala-galanya termasuklah masa, nyawa dan seluruh kehidupannya.

Walau sahaja dihinakan dirinya sendiri untuk meraih perhatian orang yang disukai, ternyata akhirnya si kekasih hanya akan memilih untuk menjauhkan diri.

Kehidupan ini penuh dengan misteri.

Sesuatu perhubungan yang disertakan hasrat murni untuk menyatukan dua hati akhirnya berkesudahan menjauhkan hati tersebut bahkan belajar untuk saling membenci.

Ada orang yang tegas memelihara soal ikhtilat, memilih jalan 'baitul muslim jemaah' atau persatuan yang diikuti tetapi akhirnya dikecewakan oleh salah satu pihak.
Permulaan yang baik tetapi pengakhiran yang sangat menyedihkan.

Ada pula orang yang asyik dengan 'couple' tetapi akhirnya tetap Allah SWT menyatukan mereka di jinjang perkahwinan.
Permulaan yang tidak bertunjangkan syariah (jika diambil pendapat para ustaz dan ustazah) tetapi akhirnya berkesudahan yang baik dan patuh syariah.

Pernah kita terfikir tak?

Mengapa kadangkala orang yang tidak Islamik sebegini, tidak pernah mengenal istilah baitul muslim jika dilihat rumah tangga yang dibina jauh lebih bahagia dari orang yang bermula dengan cara yang baik tetapi tetap sahaja menatijahkan penceraian?

Semasa kelas Fiqh Zakat semalam, diceritakan kepada kami oleh Dr Sabri Zakaria bahawa ada pelajar perempuannya datang mengadukan masalah rumah tangganya kepada beliau. Pelik bukan? Pelajar ilmu wahyu, berkopiah dan bersongkok di kepala, bertudung labuh dan berpurdah yang bermula dengan cara yang baik akhirnya akan menghadapi masalah dalam rumah tangga yang dibina?

Lalu, beliau hanya menasihatkan,
"النكاح وسيلة لزيادة الثواب ليس وسيلة لزيادة الذنوب"
Perkahwinan itu wasilah untuk menambahkan pahala, bukan menambahkan dosa.

Inilah misteri kehidupan. Ada sesuatu yang Allah SWT ingin kita belajar dari pengalaman hidup diri kita sendiri dan orang-orang di sekeliling kita.

Kita kena sedar bahawa manusia tidak akan pernah terlepas dari melakukan kesilapan. Persoalannya, adakah kita memilih untuk membetulkan kesilapan itu atau terus lari menjauh dari kesilapan?

Kedua-duanya benar dan tidak salah. Mungkin sahaja golongan ustaz dan ustazah memilih jalan kedua kerana bagi mereka, dosa itu harus ditinggalkan terus dan harus mendekat orang baik-baik sahaja supaya simpang kehidupan mereka kembali lurus menuju Ilahi.

Mungkin ada juga seperti saya memilih persimpangan pertama membetulkannya sedikit demi sedikit sehingga akhirnya kembali bertemu Tuhan. Jika manusia yang baik hanya memilih untuk duduk dalam kalangan mereka, bagaimanakah seruan dakwah dapat disampaikan? Bagaimana dengan orang yang tidak pernah mengenali jemaah Islam dan tidak pula mempelajari ilmu agama dapat mengenal Tuhan kita semua sedangkan permulaan agama itu mengenal Allah SWT?

'أول الدين معرفة الله'
Permulaan bagi agama itu ialah mengenal Allah.

Manusia punyai akal dan pilihan atas kudrat yang diberikan Allah SWT atas mereka, kita tidak akan pernah boleh memaksa untuk orang lain berpegang teguh dengan pendapat kita. Walau kadangkala kita akan terseksa dengan pilihan orang lain yang mengakibatkan diri kita turut terkesan, hanya satu sahaja kita perlu lakukan; bersabar.

Kedua, masalah dan manusia tidak boleh dipisahkan walau sebaik mana dan sebagus mana cara dan pendekatan kita. Allah SWT mahu mengajar kita bahawa perhubungan itu harus dibina atas toleransi dan perbincangan kedua-dua pihak yang punyai perbezaan masing-masing.

Masalah tetap sahaja akan timbul dalam perhubungan ustaz dan ustazah, tetap sahaja akan timbul selepas pernikahan melalui wasilah baitul muslim tetapi bagaimana cara pasangan tersebut menghadapi masalah?

Melarikan diri melalui perpisahan, talak atau khulu'?
Ya, pilihan terletak di tangan pasangan tersebut sendiri.

Dalam kitab Shahih Muslim disebutkan bahwa Ummu Salamah mengatakan: aku pernah mendengar Rasulullah saw. bersabda:
“Tidaklah seorang hamba ditimpa musibah, lalu ia mengucapkan: innaa lillahi wa innaa ilaihi raaji’un. Ya Allah, berikanlah pahala dalam musibahku ini dan berikanlah ganti kepadaku yang lebih baik darinya; melainkan Allah akan memberikan pahala kepadanya dalam musibah itu dan memberikan ganti kepadanya dengan yang lebih baik darinya.” Kata Ummu Salamah, ketika Abu Salamah meninggal, maka aku mengucapkan apa yang diperintahkan Rasulullah kepadaku, maka Allah Ta’ala memberikan ganti kepadaku yang lebih baik dari Abu Salamah, yaitu Rasulullah A. (HR. Muslim)


Ketiga, Allah SWT mahu mengajar kita bahawa semakin kita menghinakan diri kita di hadapan manusia yang lainnya atau mengorbankan segala-galanya untuk mereka, belum tentu manusia akan menghargainya walau sekelumit pun.

Tetapi, semakin kita menghinakan diri di hadapan DIA, semakin kita disayangi dan dicintai. Bagaimana kita mengetahuinya? Dengan ketenangan yang wujud di dasar hati, dengan rasa ihsan yang merasakan diri sentiasa dilihatNYA atau sentiasa merasakan bahawa kita sentiasa bersama-samaNYA dalam setiap langkah kehidupan.

Inilah misteri kehidupan yang wujud saban hari dalam kehidupan kita.

Jangan bersedih dan ditangisi diri kita yang disisihkan dan dipandang hina oleh orang lain, bersedihlah jika selepas segala musibah yang terjadi, hati kita masih sahaja tidak menemukan Allah, akal kita masih sahaja tidak mampu menafsir hikmah di sebalik ketentuan.

Suatu masa, kita akan sedar, kadangkala berseorangan bukanlah bermakna kelemahan tetapi kekuatan untuk kita kembali bangkit dari rebah bagi mencari semula Tuhan.

Kepada yang pernah mengalami pengalaman ditinggalkan, carilah sebuah kitab Arab yang bertajuk 'العلماء العزاب الذين آثروا العلم على الزواج' - Ulama' yang membujang yang mendalami ilmu lebih dari pernikahan karangan Sheikh Fattah Abu Ghuddah.

Namun nasihat Dr. Muntaha dalam kelas kami, ulama' dulu membujang tetapi meninggalkan pelbagai khazanah ilmu pada umat keseluruhannya tetapi mampukah kita?
Pelbagai kitab, risalah dan karangan ditulis oleh mereka untuk keseluruhan umat. Bagaimana pula dengan kita?

Jika tidak mampu, maka bernikahlah. Sekurang-kurangnya bernikah itu suatu sunnah yang dapat diikuti. Jika tidak; sunnah menyebarkan ilmu tidak dicapai, sunnah bernikah pun tiada.

Cuma, saya mencadangkan buku ini kerana buku ini dapat menguatkan semangat kita untuk menelusuri kehidupan para ulama' dalam menuntut ilmu sehingga akhirnya mereka menjadi ulama' besar di zaman mereka. Ya, walau diri mereka tidak berteman, walau tiada 'first lady' yang menyokong di belakang mereka.

Motivasi mereka? Allah SWT dan Rasul SAW. Ada juga yang tidak bernikah semata-mata demi menjaga keluarga tetapi lihatlah kesudahan mereka, ulama' besar yang memberi manfaat buat umat.

Jangan dirasakan perpisahan penghujung kepada kehidupan tetapi lihatlah sebagai permulaan untuk lebih sibuk dengan kegiatan ilmu seperti pembacaan dan pembelajaran.

Akhir sekali kita akan sedar bahawa dengan ilmu bagi meraih keredaan Tuhan akan menjadi penawar parut di dalam hati bagi sesebuah perhubungan.

Bersabarlah dan tersenyumlah.