Monday, December 26, 2016

Kepahitan yang Menambahkan

بسم الله الرحمان الرحيم

Saya menarik nafas, berehat seketika cuba menghadam 'Tuan Direktur' karya Pak Hamka. Ya, sudah lama diam duduknya buku ini di rak yang terletak di ruang tamu rumah ini, namun baru beberapa hari ini berkesempatan membacanya. Terasa perlu berehat seketika dalam musim peperiksaan, membaca buku-buku di luar silibus, menimba pengalaman dari tinta si penulis.

Mata saya tertumpu ke ruangan sudut bilik, kelihatan beg komputer riba di situ. Pantas saya bergerak ke arahnya dan tangan saya segera melaksanakan tugasnya. Gigi-gigi zip tersebut kedengaran jelas bersentuhan sesama sendiri. Zrap. Ya, rasanya lebih kurang begitulah bunyinya. Ternyata komputer riba saya di dalamnya.

Komputer riba ini mempunyai nilai sentimental bagi saya. Sejak 2008 ia menemani saya melaksanakan tugas-tugas di sekolah, tesis diploma[1] saya, sehinggalah tahun lepas sebelum saya menggantikannya dengan komputer riba yang sedang saya gunakan untuk menaip 'post' saat ini. Terlalu banyak gambar-gambar sewaktu saya masih aktif berpersatuan di sekolah, kampus diploma dan university sebelum membuat keputusan menyepi; saat awal sebelum mendaftarkan diri sebagai seorang PALAPES[2] dan banyak kenangan lagi.

Kenangan!

Itulah perkara yang ingin saya kongsikan saat ini. Pasti wujud pelbagai kenangan manis, pahit, suka dan duka yang hadir silih berganti mewarnai kehidupan kita.

Ada perkara yang terlalu ingin diingati tetapi ternyata akhirnya kita lupa sehinggalah terlihat foto-foto lama ataupun mengalami peristiwa-peristiwa tertentu. Ada pula perkara-perkara yang teringin dilupakan dan cuba dipadamkan dari kotak memori selama-lamanya tetapi ternyata perkara-perkara itulah yang sering singgah di minda, mengganggu ketenangan yang masih sahaja diusahakan wujudnya.

Ah, mengapa saja harus kenangan-kenangan ini kembali bermain-main di fikiran? Mengapa tidak harus hilang begitu sahaja segala-galanya?

Ya, mungkin persoalan-persoalan ini sering berlegar-legar di minda. Saya duduk seketika, mengambil masa untuk cuba menjawab persoalan-persoalan ini yang sudah lama difikirkan tetapi masih gagal memuaskan hati sendiri. Saya sedar, kadangkala kita memberontak, cuba memaksa segala-galanya berjalan mengikut aturan kita.

Mengapa kita sukar melupakannya?

1.    Kenangan-kenangan ini hakikatnya manis saat tiba sebagai tetamu dalam buku kehidupan kita sehingga di penghujungnya teringin dilupakan kerana kemanisan itu terhenti di pertengahan jalan, kepahitan pula mengganti tempatnya.
2.    Jiwa kita memberontak memaksa segala-galanya mengikut acuan rancangan yang direncanakan atau pun diidam-idamkan tetapi kita lupa bahawa kita hanya hamba, ada kuasa yang lebih hebat dan agung dalam menentukan segala-galanya. DIAlah yang Maha Bijaksana, Allah SWT. Amalkan zikir ‘لا حول ولا قوة إلا بالله’ – Tiada daya dan kekuatan melainkan dengan kekuatan dan izin Allah SWT.
3.    Kenangan-kenangan inilah yang banyak mengajar kita erti kehidupan dan membentuk diri kita pada hari ini.

Akhirnya, kita sedar, bahawa kenangan-kenangan ini telah banyak mencorak diri kita menjadi seorang manusia pada hari ini.

Kita kena sedar, kenangan –kenangan tidak mungkin dapat dilupakan, bahkan akan terus diingati dalam mengukir ketabahan sekeping hati. Suatu hari, pasti diri kita akan belajar meneruskan kehidupan dalam kepahitan kenangan, tidak lagi terus menyepi dan ‘membunuh diri’[3] sendiri.

.................................................................................................................................................

Kenangan,
Saban hari aku mengharapmu pergi,
Saban hari kucuba memadammu dari memori
Mengapa masih sahaja engkau berdiam di sini?

Kenangan,
Terima kasih kudahului,
Atas segala pengajaran yang diberi,
Moga terus aku dipandu Ilahi,
Diberi ganti atas rugi.

Mengapa harus aku bergantung padamu?
Sedang hari ini hadiah buatku
Mencipta kemungkinan bagi esok yang belum tentu.

....................................................................................................................................................

Pernah saya mengimpikan melanjutkan pelajaran ke luar negara, khususnya timur tengah tetapi tidak semua impian mampu dicapai. Jika mampu dicapai sekalipun, tidak semua perlu ditunai menimbang tara segala kewajipan.

Saya ingin kongsikan beberapa gambar yang pernah dikongsi oleh bekas sahabat saya yang menuntut di timur tengah, pernah menjadi sahabat yang banyak mengajar erti kehidupan, yang banyak mengajar meredakan baran, yang banyak mengajar hati dan naluri seorang insan bernama perempuan.

Ingin saya dedikasikan gambar-gambar ini kepada sahabat, moga terus kuat dan berjaya dunia akhirat. Terima kasih atas kenangan yang dicipta dalam membentuk seorang Muzahfar pada hari ini.



Gambar semasa sahabat saya ke kem pelarian Syria:

 











Pengalaman memasak makanan tempatan di negara orang:












Memandangkan kami suka membaca, dikongsikan juga gambar-gambar perpustakaan di sana:



Kesimpulannya, tidak perlu menyalahkan kenangan, bahkan hiduplah berteman dengannya walau kadangkala ia menyakitkan. Kenangan pasti akan menjadi pengalaman yang mengajar erti kehidupan. ‘Come on’ lah kawan-kawan, bukankah masih banyak perkara perlu diberi perhatian? Bukankah masih banyak masalah perlu diselesaikan? Bukankah masih punya kehidupan yang perlu diteruskan?

والله أعلم



[1] Kerja wajib bagi kami penuntut diploma Darul Quran JAKIM. Pendapat peribadi saya, saya lebih suka menggelarkannya kertas kerja atau disertasi. Tajuk kertas kerja saya ialah ‘Peranan dan Tanggungjawab Wanita dalam Gerakan Dakwah : Suatu Kajian Terhadap Pelajar Darul Quran’. Mungkin dalam ‘post’ lain saya akan berkongsi sedikit mengenainya.
[2] PALAPES (Pasukan Latihan Pegawai Simpanan) Angkatan Tentera Malaysia atau dikenali juga sebagai ROTU (Reserved Officer Training Unit). Boleh cari dalam internet untuk maklumat dan sejarah penubuhannya
[3] Kadangkala kita bukan membunuh diri, tetapi membunuh potensi diri. Melarikan diri dari kehidupan dan mencipta dunia sendiri. Kita lari dari sahabat-sahabat dan teman, lari dari persatuan dan akhirnya membunuh potensi yang wujud dalam diri kita sendiri.