Wednesday, December 28, 2016

Hembusan Illahi

بسم الله الرحمان الرحيم

Sedarkah kita?

Kadangkala saban hari kita dihadapkan dengan pelbagai manusia yang susah dan memerlukan bantuan di sekeliling kita tetapi tidak kita sedari kewujudannya.

Kita dihadapkan dengan kawan-kawan yang mengikat perut menahan lapar, sering beralasan 'sudah makan' setiap kali mengajaknya keluar tetapi sedikit pun tidak terdetik di hati kita kesusahan yang menimpa sahabat kita saat itu.

Kadangkala kita dihadapkan pula dengan golongan yang meminta sedikit simpati, menghulur tin-tin kosong mahupun mangkuk plastik memohon wang sekadarnya sahaja bagi mengisi perut mereka tetapi tetap sahaja dikeraskan hati kita dari berkongsi sedikit rezeki yang dikurniakan Allah SWT kepada kita.

Fikir kita, mereka ini penipu, ada sindiket di sebalik mata yang meminta dikasihani.

Kadangkala, saban hari kita melintasi masjid, tetapi tidak diluangkan sedikit masa menunaikan kefarduan solat secara berjemaah di sana. Kita lebih selesa menunaikannya bersendirian di bilik sendiri.

Kadangkala kita dihadapkan pula dengan teman yang begitu sukar menunaikan kefarduan seperti tidak bangun menunaikan solat Subuh dan fikiran kita pada waktu itu hanya menghukum, tidak pula memberi nasihat secara baik.

Pernah juga kadangkala kita terasa lemah dan tidak bersemangat meneruskan kehidupan sehingga berputus asa dan malas menjalani rutin harian dan kita hanya melayan sahaja rasa lesu dan malas tersebut.

Seringkali kita terjaga di malam hari tetapi akhirnya hanya memilih untuk melelapkan semula mata tanpa sedikit pun terdetik untuk mendirikan malam dengan solat-solat sunat, zikir atau bacaan Al-Quran.

Seringkali juga kita disajikan dengan khabar kebaikan insan lain bahkan mata kita sendiri kadangkala menyaksikan kebaikan orang tetapi sekadar terhenti dengan memuji dan mengaguminya tanpa kita berusaha sedikit pun menjadi sepertinya.

Seringkali juga sedang kita menikmati makanan, kita merasa terganggu dengan kehadiran kucing yang mengeow (betul ke istilah ni?) meminta makanan namun masih sahaja hati kita keras dari menghulurkan sedikit juadah yang terbentang di hadapan mata.

Banyak lagi kemungkinan yang seringkali kita alami tanpa sedar dalam kehidupan kita. Pasti sahaja kita pernah melalui detik-detik sebegini tanpa disedari dalam menjalani kehidupan seharian kita. Jika tidak kesemuanya, pasti sebahagian pernah kita alami.

Ketika kita mengalaminya berulang-ulang kali tanpa ada sekelumit pun untuk berbuat kebaikan, tiba-tiba datang satu hari yang membuatkan kita terbuka hati melakukan kebaikan dalam setiap situasi di atas.

Tiba-tiba sahaja hari itu terdetik niat di hati kita membelanja sahabat kita yang sering menahan lapar sedangkan sebelum ini, tidak pernah terniat walau sekali pun melakukannya.

Tiba-tiba sahaja terdetik niat di hati menderma membuatkan tangan kita mengisi setiap tabung derma yang wujud di laluan perjalanan kita.

Credit to : https://lh3.googleusercontent.com/-re45jDxetrA/VcgZjchvpQI/AAAAAAABWFI/JT9rqyHKV-Q/w800-h800/Dahsyatnya-Sedekah-di-Bulan-Ramadhan.jpg
Tiba-tiba sahaja hari itu kita melintasi masjid dan terus menunggu masuk waktu solat Fardu sedangkan sebelum ini tidak pernah kaki kita dijejakkan ke sana walau pun azan sedang berkumandang menandakan masuknya waktu.

Sahabat kita yang kebiasaannya sukar bangun bagi menunaikan solat Subuh, tiba-tiba sahaja pada hari itu, terdetik niat kita menegur dan berbincang dengannya membincangkan masalah dan memberi jalan penyelesaian.

Muncul pula suatu hari saat kita berasa terlalu positif dan sangat rajin, berbeza dengan kemalasan yang biasa melekat pada diri.

Credit to : http://farm4.static.flickr.com/3448/3366355534_c9f649a83c.jpg
Suatu hari, kita mengunci loceng jam, berhasrat untuk bangun tika dinihari bagi menghidupkannya, berbeza dengan sebelum-sebelum ini yang telah terjaga tetapi memilih untuk terus tidur di atas katil.

Hadir pula satu masa saat kita mendengar kebaikan orang lain, segera kita berazam melakukan kebaikan sepertinya.

Credit to : https://i.ytimg.com/vi/7NcP-KZr7g4/hqdefault.jpg
Datang pula suatu detik kita mengasihani kucing yang sering dihalau menganggu kita ketika menikmati makanan dan diberi sedikit makanan yang sedang dinikmati.

Pernah kita terfikir tak dari mana datangnya rasa ingin berbuat kebaikan sedangkan biasanya tidak pernah terdetik pun melakukannya dalam situasi tersebut sedangkan banyak kali kita mengalaminya?

Diri kita sendiri?

Ketika menjalani detik-detik sebeginilah, saya teringat tazkirah yang pernah disampaikan senior saya di sekolah dulu,

"Saat itu hakikatnya Allah SWT menjentik hati kita, meniupkan hembusan kasih sayangnya untuk kita berbuat kebaikan. Saat itu, bukan kita sendiri yang menginginkannya melainkan tidak lain dan tidak bukan hasil rahmat dan kasih sayang Allah SWT."

Lebih kurang beginilah nasihat yang disampaikan. Masih sahaja tersimpan kemas dalam lipatan memori intipati nasihat ini.

Benarlah firman Allah SWT:
Surat Adz-Dzariyat ayat 55
Dan tetaplah memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang yang beriman. (Adz-Dzariyat 51:55)

Walau ayatnya mudah, tetapi cukup bermakna dan memberi kesan mendalam pada diri saya sendiri. Saya belajar bahawa Allah SWT itu yang meniupkan rasa untuk kita berbuat kebaikan dalam kehidupan seharian kita.

Allah SWT jugalah yang memberi kita kekuatan untuk disempurnakan setiap kebaikan. Saat itulah saya mengambil keputusan menamakan blog ini dengan nama 'Hembusan Illahi'. Setiap kebaikan yang dilakukan hadir dengan sebab hembusan yang saya namakan sebagai hembusan dari tuhan, hembusan Illahi.

Allah SWT yang 'menjentik' hati kita sehingga terdetik berbuat kebaikan dan mencampakkan kekuatan untuk kita menyempurnakan kebaikan tersebut.

Saya juga berharap para pembaca setia blog ini dapat memanfaatkan setiap 'hembusan' yang telah Allah SWT kurniakan kepada kita untuk melakukan kebaikan. Moga-moga kita menjadi golongan yang apabila mendengar kebaikan, tidaklah terhenti sekadar mengagumi, bahkan turut meniru jejak langkah kebaikan tersebut.

الَّذِينَ يَسْتَمِعُونَ الْقَوْلَ فَيَتَّبِعُونَ أَحْسَنَهُ ۚ أُولَٰئِكَ الَّذِينَ هَدَاهُمُ اللَّهُ ۖ وَأُولَٰئِكَ هُمْ أُولُو الْأَلْبَابِ
Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya (pada segi hukum agama); mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna. (Az-Zumar 39:18)

والله أعلم